Malaysia Dateline

Benarkan kleptokrasi kembali, kerajaan Melaka akan jatuh buat kali kedua, kata Kit Siang

Jika Umno boleh memenangi 18 daripada 28 kerusi yang ditandingi di Melaka ini bermakna Umno akan membentuk kerajaan Melaka yang akan datang.

Ahli Parlimen Iskandar Putri Lim Kit Siang membayangkan jika kemenangan di pihak Umno kejatuhan kerajaan Melaka akan berulang buat kali kedua akibat rasuah kerana membenarkan kleptokrasi untuk kembali.

“Saya teringat yang Melaka yang telah mencapai tahap ketamadunan tinggi lima ratus tahun lepas, tumbang kerana rasuah, dan terfikir sama ada suatu hari nanti, akan terjadi pula kejatuhan Malaysia dan berulangnya kejatuhan Melaka buat kali kedua akibat rasuah kerana kita membenarkan kleptokrasi untuk kembali,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yakin yang Umno boleh memenangi 18 daripada 28 kerusi yang ditandingi di Melaka.

Kata Kit Siang, orang yang bertanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi kini sedang memainkan peranan utama berkempen untuk Umno dalam Pilihan Raya Negeri Melaka ini.

“Apakah maksud perkara ini?

“Saya tidak rasa ada sesiapa yang tidak setuju apabila saya katakan yang laporan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tahun hadapan akan menjadi satu laporan yang buruk untuk Malaysia, menunjukkan kejatuhan anak tangga akibat rasuah.

Semua ini berlaku sebelum PRN Melaka.

“Adakah rakyat akan melihat rasuah yang lebih berleluasa di Melaka dan Malaysia.

“Adakah semua usaha kita untuk menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dalam PRU 14 pada tahun 2018 ini sia-sia?

“Inilah antara isu yang akan ditentukan pada hari Sabtu ini,” kata beliau.