Malaysia Dateline

Benarkan Klinik Nur Sejahtera LPPKN beroperasi dalam tempoh PKP, kata AWAN

Dr Hafidzah Mustakim

Biro Kesihatan Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Nasional menyokong penuh kenyataan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meminta kerajaan mengkaji semula keputusan tidak membenarkan Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, AWAN setuju perkhidmatan Klinik Nur Sejahtera LPPKN tersebut amat diperlukan khususnya dalam kalangan B40 yang tidak mampu membayar kos pembiayaan di klinik swasta untuk merancang keluarga.

“Pada tahun 2018 lebih 90,000 wanita mendapat pelbagai perkhidmatan kesihatan reproduktif termasuk khidmat perancangan keluarga daripada Klinik LPPKN yang beroperasi di seluruh negara.

“Kita boleh bayangkan kesusahan yang dialami oleh golongan ini apabila mereka terputus bekalan ubat perancangan keluarga mereka.

“Lebih parah bagi mereka yang mengambil kaedah perancangan keluarga melalui kaedah lain seperti dengan cara suntikan, kaedah implanon atau alat dalam rahim kerana sekiranya tarikh luputnya berlaku dalam tempoh PKP ini maka mereka akan menghadapi kesukaran untuk menggantinya di klinik swasta lain kerana kosnya yang lebih mahal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan Klinik LPPKN juga memberikan perkhidmatan yang kritikal kepada wanita.

Selain perkhidmatan kesihatan reproduktif, jelas beliau, LPPKN juga menyediakan khidmat kaunseling dan nasihat kekeluargaan yang amat diperlukan sebahagian rakyat menghadapi tekanan di musim PKP.

“Justeru dalam suasana PKP dilanjutkan lagi ke tarikh 12 Mei 2020 AWAN Nasional menggesa agar pihak kerajaan segera mengkaji semula keputusan ini dan membenarkan Klinik LPPKN seluruh negara beroperasi semula demi memberi perkhidmatan yang amat diperlukan oleh rakyat khususnya golongan wanita yang kurang berkemampuan,” kata beliau.