Malaysia Dateline

Benarkan peniaga makanan di Kelantan beroperasi hingga 2 pagi

Pemuda AMANAH Kelantan menggesa kerajaan untuk membenarkan peniaga makanan beroperasi hingga jam 2 pagi berbanding 10 malam pada masa ini.

Menerusi kenyataannya hari ini, sayap parti itu berkata, ruang masa yang singkat hingga ke jam 10 malam sangat tidak membantu para peniaga untuk terus beroperasi serta tidak memberi kelegaan kepada para pelanggan untuk waktu bersahur.

“Jika MKN (Majlis Keselamatan Negara) boleh membenarkan bazar Aidilfitri di kawasan lain beroperasi hingga jam 2 pagi, tidak salah jika kebenaran yang sama diberi untuk kedai makan beroperasi hingga jam 2 pagi, kalaupun tidak dapat berikan kebenaran sehingga jam 5 pagi,” katanya.

Menurutnya, status Kelantan yang dikenakan PKP sehingga 17 Mei dijangka akan menjadikan situasi semasa ekonomi kendiri yang diusahakan oleh rakyat di negeri itu bertambah buruk.

“Sepanjang Ramadan ini, rakyat kita mungkin tiada masalah untuk mencari juadah berbuka puasa, terima kasih kepada pihak MKN yang membenarkan peniaga dan penjaja beroperasi.

“Walau bagaimanapun, bukan semua rakyat kita bekerja di waktu pejabat, dan hakikatnya masih ramai rakyat kita yang bekerja di waktu malam terutama dalam sektor swasta seperti kilang, pemandu kenderaan barangan, perkhidmatan keselamatan dan kesihatan, penghantaran dan lain-lain,” tambahnya lagi.