Malaysia Dateline

Benarkan pesawat Israel melintas: Menteri Pas, Umno tunduk kepada MCA?

Suara menteri Pas dan Umno yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipersoal berhubung kebenaran terhadap pesawat Israel melintas di ruang udara Malaysia baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan kerajaan membenarkan lintasan pesawat milik penjenayah perang itu diakui Kementerian Pengangkutan.

“Malah, dalam kenyataan tersebut seakan-akannya kita tidak boleh langsung menghalang mana-mana pesawat atas nama keanggotaan dalam ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa), asalkan ianya ‘tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Pengangkutan berkata, pesawat awam Boeing milik Israel yang melintasi ruang udara Malaysia pada 19 Mei jam 2.55 pagi lalu disahkan mengikut peraturan ditetapkan oleh ICAO.

Katanya, tiada corak penerbangan tidak normal ketika pesawat awam terbabit yang berlepas dari Male, Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura itu merentas ruang udara negara.

Pihak berkuasa penerbangan Malaysia juga mengesahkan pesawat terbabit tidak kembali ke ruang udara Malaysia selepas tiba di destinasinya iaitu Singapura.

Sehubungan itu, Shazni menganggap kerajaan PN suka bermuka-muka kerana kecaman terhadap Israel sekadar di mulut namun hakikatnya muka-muka itulah yang rapat dan mesra dengan para pelobi normalisasi hubungan dengan Israel.

“Akibat telah terbiasa bermuka-muka itulah yang akhirnya tanpa rasa bersalah telah membenarkan pesawat Israel melalui ruang udara negara.

“Kalau pun mahu bersangka baik bahawa pesawat itu tidak mengancam keselamatan negara, tidakkah berwaspada dengan tidak membenarkan itu jauh lebih baik?” bidasnya.

Beliau menegaskan Indonesia pada 2017 dengan tegas boleh menghalang pesawat Israel melalui ruang udara mereka dengan beberapa perincian justifikasi.

“Apakah ketika itu negara berkenaan bukan anggota ICAO?

“Tidakkah Muhyiddin dan para menterinya tahu betapa resahnya rakyat apabila mendapat tahu pesawat Israel dengan senang-lenangnya boleh melintas ke ruang udara negara, ketika beberapa hari sebelumnya rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada perjuangan rakyat Palestin?” soalnya lagi.

Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional menegaskan dalam hal penentangan terhadap negara haram Israel bukanlah terlalu kompleks sifatnya.

“Cukup memaklumi bahawa ianya sebuah imperialisme yang wajar dilawan, maka segala dasar dan polisi harus mengarah ke situ.

“Namun, kalau itu pun gagal difahami, malah diberikan segala mak nenek justifikasi untuk berlembut pula akhirnya, amatlah malang keadannya bagi kerajaan yang gemar bermuka-muka ini.

“Lantas ingin ditanyakan soalan terakhir, di mana menteri Pas dan Umno? Tunduk kepada MCA ‘kah?” soalnya lagi.