Kementerian Kewangan (MOF) sedang memperincikan cadangan bagi membolehkan proses pengilangan dan pengeluaran rokok berharga murah dapat dilakukan di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, jika boleh dilaksanakan, ia mampu menyumbang kepada hasil percukaian negara, namun penilaian dari segala aspek termasuk isu kesihatan tetap diambil kira.
“Perkara ini dalam makluman MOF. Ini satu perkara kerajaan sedang perincikan apakah kaedah yang terbaik untuk kita lakukan supaya dapat mengurangkan perkara atau aktiviti tidak dibenarkan kerajaan.
“Kita mengambil pandangan semua, supaya dengan apa saja yang kita lakukan, ia akan sedikit sebanyak boleh menambah hasil negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk Othman Aziz bangun mencelah meminta MOF memperincikan cadangan supaya pengilangan rokok murah dapat dibuat di Malaysia bagi mengatasi masalah penyeludupan, yang menjadi penyumbang kepada ketirisan ekonomi negara.
“Kenapa kerajaan tidak boleh benarkan jenama murah ini dikilang dan dipasarkan di negara ini, sedangkan jenama (lain) yang dimasukkan ke negara ini dari negara luar dan (penyeludupan rokok murah) ini kita tidak dapat cukai,” katanya.
Sebelum ini, Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia) memaklumkan, pihak berkuasa di negara ini merampas sejumlah 76.2 juta batang rokok seludup dibawa masuk melalui laluan perairan negara pada suku pertama tahun ini.
Jumlah itu menurut RTBA Malaysia, menandakan lonjakan besar jika dibandingkan sejumlah 34 juta batang rokok seludup dirampas pada keseluruhan pada tahun 2020.
Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, kerajaan masih dalam peringkat kajian untuk mengawal selia rokok elektronik dan vape secara menyeluruh termasuk melalui medium percukaian.
“Kajian terperinci ini meliputi aspek kawal selia, standard keselamatan, kualiti produk dan penguatkuasaan larangan penjualan serta penggunaannya terutama dalam kalangan pelajar sekolah atau remaja,” katanya.