Malaysia Dateline

Benarkan semula solat jemaah dengan syarat yang ketat, cadang Dr Mujahid

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mencadangkan agar kebenaran diberikan semula kepada umat Islam untuk menunaikan solat jamaah di masjid dan surau tetapi dengan syarat-syarat yang ketat.

Kebenaran ini pula hanya dicadangkan untuk di zon-zon hijau atau yang telah dikenalpasti bebas dari jangkitan Covid-19 dan selamat.

DR MUJAHID YUSOF

Dalam satu kenyataannya kepada Malaysia Dateline, Naib Presiden AMANAH itu berkata, langkah ini perlu diambil bersama-sama dengan langkah keringanan bagi membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial di kalangan rakyat.

“Saya difahamkan kerajaan akan memaklumkan beberapa langkah dan tindakan keringanan untuk membuka kegiatan ekonomi dan sosial.

“Saya mengharapkan langkah ini turut melibatkan kepentingan beribadat di masjid dan surau untuk orang Islam khususnya di bulan Ramadhan yang mulia,” kata beliau.

Beliau mencadangkan beberapa syarat ketat yang perlu dipatuhi untuk membolehkan umat Islam memenuhi tuntutan solat berjamaah itu.

Antaranya

1. Memastikan kawasan surau dan masjid adalah bebas covid atau zon hijau

2. Kekalkan jarak selamat dalam saff solat

3. Tiada sentuhan dan masa berada untuk solat jamaah ditetapkan seringkas mungkin

4. Untuk solat Tarawih ditetapkan 4 rakaat tanpa perlu tahmid dan tasbih atara solat dan apa-apa aktiviti lain dan selebihnya boleh dibuat di rumah.

“Saya yakin jika panduan ini dipatuhi, masjid dan surau boleh dibuka semula dan solat berjamaah dapat dihidupkan,” kata beliau.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu, semua panduan tetap tertakluk kepada keadaan Covid-19 yang akan dinasihatkan oleh pihak kesihatan negeri.

Di Jerman, Mahkamah Tertinggi negara itu membenarkan umat Islam menunaikan solat Jumaat tetapi dengan syarat-syarat yang ketat bagi mengelak jangkitan Covid-19.