Ini bukanlah kali pertama usahawan terkenal dengan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri mengambil model yang terpalit isu hingga mendapat kecaman ramai.
Sebelum ini Aliff Syukri memilih isteri kedua Syamsul Yuso, Ira Kaza dan Mira Viee Chin sebagai modelnya.
Terbaru dia memuat naik video terbaru bersama pelakon yang dilanda kontroversi Ruhainies sebagai modelnya.
Menurut Xtra, Aliff memaklumkan bahawa video tersebut sudah dirakam sudah lama, dan bayaran sudah dibuat.
“Kami dah bayar, takkan nak peram dan simpan sahaja video terbabit? Cuba kalian berada di tempat kami. Bagi saya, jangan campurkan hal lain dengan peribadi. Sebelum ini, saya sudah pun bayar dia, jadi takkanlah nak simpan sahaja?
“Takkan nak tunggu dia ‘kertu’ umur 80 tahun, rambut beruban dan gigi sudah rongak baru saya muat naik video dia? Cuba fikir. Kadang-kadang ada yang melebih-lebih, tiada perasaan dan jiwa. Saya pun ada perasaan.
“Video tersebut sudah lama dirakam, malah ada juga yang dakwa saya cuba nak tumpang populariti? Populariti apa?” kata Aliff.
Tambahnya, dia dan isteri Datin Seri Nur Shahida memilih untuk berbuat baik kepada semua orang tanpa mengambil hal tentang kisah peribadi mereka.
“Bagi saya dan isteri, apa yang berlaku adalah masalah peribadi masing-masing. Macam saya sendiri pun tak tahu, mungkin masa depan akan ditimpa ujian juga dan saya berkawan dengan semua orang.
“Saya pernah bekerjasama dengan Bella Astillah dan begitu juga dengan Ruhainies. Setiap individu ada ketikanya mereka di bawah, ada masanya mereka di atas. Kita tidak boleh menghakimi sesiapa. Mungkin satu hari ada yang lebih baik berbanding kita pada akhirnya.
“Apa yang berlaku janganlah melibatkan semua orang. Hari ini mungkin hari kita, esok lusa pula tiba masa kita.
“Siapa tahu? Jadi, tak salah untuk kita berbuat baik kepada semua orang,” tambahnya.
Baca juga: Anak bongsu Anwar terima tepukan gemuruh, pamer solidariti Palestin di New York