Bendahari Bersatu Gerik dakwa dipecat secara tidak sah selepas persoal kedudukan kewangan

Bendahari Bersatu Gerik dakwa dipecat secara tidak sah selepas persoal kedudukan kewangan
Abd Hadi menunjukkan salinan laporan polis yang mendakwa beliau dipecat secara tidak adil oleh pengurusan parti.

Bendahari Bersatu Bahagian Gerik, Abd Hadi Saldada mendakwa tindakan memecat beliau sebagai Bendahari Bersatu Bahagian Gerik oleh Pengerusi Bahagian adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan parti tersebut.

Sehubungan itu beliau telah mengambil tindakan drastik dengan membuat laporan polis di Balai Polis Gerik semalam.

Menurut beliau lagi, tindakan menghalau beliau dari menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bahagian yang telah diadakan di pejabat bahagian Jalan Air Suda semalam adalah salah dari segi undang-undang parti.

“Tindakan memecat saya sebagai Bendahari tidak dipertikaikan, namun begitu dipecat sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian adalah tidak sah kerana ia bukannya lantikan Pengerusi.

“Sebagai ahli parti apabila saya mempertikaikan mengenai tempoh notis yang diberikan tidak menurut perlembagaaan parti iaitu 14 hari sebelum mesyuarat agung diadakan.

“Mana mungkin apabila ahli mempertikaikan mengenai kedudukan kewangan maka ia dipecat tanpa saluran yang sah dan mengikut kuasa veto. ” kata beliau ketika dihubungi.

Dalam laporan polis tersebut juga, Abd Hadi memohon supaya siasatan dibuat mengenai kedudukan kewangan parti berjumlah RM20,000 serta lembu korban sebanyak lima ekor yang didakwa dijual.

Malah katanya, laporan polis yang dibuat olehnya menuntut supaya siasatan dapat dilakukan dengan kadar segera mengenai kedudukan kewangan tersebut oleh pihak parti.

COMMENTS