Malaysia Dateline

Bendera bintang pecah lima: Hina negara, tidak bertanggungjawab, kata Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin,menyifatkan  perbuatan menghina bendera negara oleh pihak yang diberikan kerakyatan adalah sesuatu perbuatan yang melampau.

Beliau  berkata,  perbuatan bendera  Malaysia  bintang pecah lima  itu sebagai tidak bertanggungjawab,

Justeru katanya  kerajaan seolah-olah sedang dipermainkan sekiranya perbuatan menghina negara itu dibiarkan berterusan berlaku.

“Rakyat akan melihat sejauh mana ketegasan kerajaan terhadap golongan yang diberi peluang hidup dalam negara ini tetapi bersikap menghina negara.

“Jika mereka terlepas, ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam isu sebegini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, pada Selasa.

Katanya lagi, kerajaan perlu bertindak tegas dalam menangani isu ini bagi memastikan pengurusan negara dijamin kedaulatannya.

Pada Isnin   tular satu video klip berdurasi 1 minit 42 saat yang memaparkan bendera Malaysia dengan bintang pecah lima dalam satu acara pembukaan perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

Klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport itu ditayangkan semasa nyanyian lagu Negaraku.

Bagaimanapun, pada Selasa, MABA memohon maaf atas kesalahan yang terpapar di bendera Malaysia sewaktu acara pembukaan Kejohanan Bola Keranjang Milo Lum Mun Chak ke-28 itu.

Pihak polis juga dalam kenyataan memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap kejadian itu.