Malaysia Dateline

Bendera hitam tanda solidariti elak kampung di sekitar KL terima nasib sama

Kampong Bharu bermula sejak tahun 1899. Pada 1900, DYMM Sultan Alauddin Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa telah mengiktiraf penempatan Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kawasan MAS Kampong Bharu.

Kawasan M.A.S (Malay Agriculture Settlement) seluas 222.76 ekar (89.70 hektar) mengandungi tujuh buah kampung tradisi yang diwartakan pada 12 Januari 1900. Ia merupakan tanah kurnia hakmilik kekal yang dikenakan sekatan kepentingan.

Sekatan kepentingan secara jelas menyatakan tanah tersebut tidak boleh dijual dan/atau tidak boleh diduduki oleh orang bukan Melayu. Kawasan Raja Bot seluas 44.3 ekar (16.3 hektar) merupakan tanah yang mula dibangunkan sejak 1955 dan Kawasan Luar M.A.S yang dimiliki oleh DBKL, dan PKNS seluas 40.29 ekar (18.8 hektar) dengan pegangan bebas tanpa sekatan kepentingan.

Sebanyak 11 buah rumah telah dikenalpasti yang mempunyai ciri-ciri seni bina rumah tradisional Selangor, Johor, Perak, Pahang dan Melaka. Ciri-ciri rumah tradisional ini diambil kira dari aspek rekabentuk bumbung, tangga, dan ruang.

Jika harta yang dibangunkan dijual kepada bukan Melayu maka akan hilanglah Kampung Bharu sebagai kawasan Melayu di Kuala Lumpur.

Untuk menentukan penduduk Kampung Bharu terus berada di situ maka satu syarat yang perlu dikenakan kepada pemaju ialah penduduk Kampung Bharu bukan sahaja dibayar harga tanah dengan harga setimpal dan mereka akan diberi tempat perniagaan dan kediaman di bangunan yang akan didirikan.

Syarat ini boleh menjamin orang Melayu yang sekarang berada di situ akan terus berada di situ. Mereka tidak akan terusir keluar.

Pampasan yang terlalu rendah, mana nak cari rumah di Kuala Lumpur, itulah keluhan penduduk Kampung Bharu.

Penduduk sekitar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini telah menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati terhadap projek pembangunan semula kawasan itu yang dianggap berat sebelah termasuk tawaran pampasan didakwa tidak masuk akal dan terlalu rendah.

Ada penduduk mendakwa mereka yang tinggal di Flat Sungai Baru hanya ditawarkan antara RM200,000 sehingga RM250,000 sebagai balasan.

Jika dengan nilai pampasan sedemikian, mana nak cari rumah baharu di kawasan Kuala Lumpur ini? Rumah mereka memang lama tapi nilai kawasan perlu diambil kira.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah penduduk di Kampung Sungai Bharu, bukannya serah kepada pemaju yang sememangnya inginkan keuntungan daripada rundingan tersebut.

Tambahan, pemaju telah menggunakan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk buat pengambilan secara tidak adil dan menindas bangsa Melayu sendiri di atas tanah dan negara sendiri.

Pemberhentian projek oleh pemaju wajar dihentikan serta-merta, sementara perbincangan dengan penduduk diteruskan dan diambil kira.

Ahli Parlimen yang sepatutnya turun padang menemui penduduk Kampung Sungai Baru, dengar keluhan penduduk yang dalam kesusahan dan seperti tidak dihargai, mereka bukannya penduduk setinggan atau pendatang asing tanpa izin. Mereka adalah rakyat Malaysia yang ada geran rumah yang sah.

Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu dan semua penduduk kampung di persekitaran Kuala Lumpur, boleh memasang bendera hitam sebagai tanda solidariti dan simpati kepada penduduk di Kampung Sungai Baru.

Lambat laun kampung-kampung di sekitar Kuala Lumpur pun akan menerima nasib yang sama jika tidak bersatu, apabila pemaju yang rakus menggunakan cara yang sama untuk mendapatkan tanah bagi projek mereka.

*ISHAK SURIN merupakan Pengerusi Pertubuhan Muafakat Perpaduan Kuala Lumpur (PADU)
merangkap Pengerusi Kampung Warisan. Beliau boleh dihubungi di talian 013-3291 966.

Lokasi strategik Kg Baru di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur sejak dulu diintai pemaju hartanah.