Siapa sangka, lagu kebangsaan Palestin yang diterjemahkan di dalam bahasa Korea akan berkumandang dari bangku penonton ketika aksi Piala Dunia 2026 berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul, Khamis lalu.
Perlawanan bola sepak pusingan ketiga kelayakan Zon Asia itu menyaksikan Palestin menentang pasukan Korea Selatan dalam usaha untuk memburu slot ke Piala Dunia buat kali pertama.
Difahamkan, kira-kira 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing hadir memberikan sokongan dengan bersorak kuat untuk penduduk Semenanjung Gaza itu di sepanjang perlawanan.
Tampil dengan peralatan ‘Clapper’, bendera serta pelekat Palestin di muka dan tubuh badan, para sukarelawan mulanya kelihatan teragak-agak untuk melawan sorakan gemuruh daripada penyokong tegar Korea Selatan.
Namun semangat mereka mula bertambah apabila aksi menganjak ke separuh masa pertama dengan sorakan penonton kedengaran setiap kali penjaga gol Palestin iaitu Rami Hamadeh menyelamatkan bola dari menerjah ke gawang.
Skuad Palestin akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-22 di hadapan 66,000 penyokong dalam stadium berkenaan namun sayangnya jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Pasukan tuan rumah yang dibimbing jurulatih keempat pada tahun ini iaitu Hong Myung-bo itu juga melakukan beberapa percubaan namun dihalang oleh Hamadeh yang beraksi cemerlang.
Walaupun perlawanan itu berakhir seri dengan keputusan 0-0, tetapi pasukan Palestin nyata memberikan ancaman besar meski menduduki ranking ke-96 dunia berbanding Korea Selatan (23).
Selepas perlawanan tamat, laungan ‘Free Palestine’ atau bebaskan Palestin turut bergema di seluruh stadium malah berpuluh-puluh bendera negara itu juga turut dikibarkan di bangku penonton.
Kehadiran penyokong untuk pasukan Palestin itu merupakan inisiatif daripada satu kumpulan aktivis daripada Korea Selatan yang mendukung kebebasan penduduk Gaza, lapor Korea Times.
Kumpulan aktivis ini menyelaras para sukarelawan melalui media sosial dan aplikasi sembang KakaoTalk dengan memberi maklumat terutama mengenai garis panduan agar penyokong tidak melanggar peraturan FIFA.
“Saya mendapat tahu bahawa rakyat Palestin sangat menyukai bola sepak. Jadinya kami datang ke sini dengan harapan pasukan sorak ini akan ditayangkan di televisyen.
“Semoga penduduk yang terjejas di bumi Gaza dapat melihat sokongan kami kepada mereka,” kata salah seorang wakil aktivis berkenaan memetik laporan Korea Times.
Sekadar info, pasukan bola sepak Palestin ini berlatih di Malaysia sebelum bertemu Korea Selatan dan akan kembali ke Kuala Lumpur untuk perlawanan berikutnya menentang Jordan pada Selasa ini.