Malaysia Dateline

Bendera putih seluruh negara isyarat kerajaan semakin ditolak, kata aktivis

Trend terkini rakyat yang semakin terhimpit dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan terpaksa mengibarkan bendera putih membuktikan bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak diyakini untuk membela nasib mereka.

Kecamukan yang semakin bercambah menjadikan rakyat hilang arah dan hala tuju sehinggakan sanggup mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan keperluan harian, tidak harus dimomokan dengan perumpamaan politik oleh kerajaan.

Timbalan Koordinator Jinggawan, Jingga 13 Malaysia, Edzha Zaini dalam kenyataannya kepada Malaysia Dateline berkata, rakyat kini menyedari polisi sedia ada amat membebankan mereka, apatah lagi dengan PKP yang entah ada atau tidak noktahnya.

“Rakyat semakin muak dengan PKP 1.0 sehinggalah 3.0 kini dengan jumlah kes membabitkan Covid-19 tidak konsisten dan dasar penguatkuasaan yang senantiasa berubah-ubah sehinggakan rakyat tertekan melalui kekangan yang pelbagai.

“Bendera putih yang dikibarkan rakyat kini membuktikan kegagalan kerajaan melalui pelbagai agensi mereka bagi mengetahui kedudukan sebenar rakyat yang terhimpit.

“Kibaran bendera putih melambangkan keberanian rakyat untuk menzahirkan kesukaran mereka ketika ini yang masih dalam kepayahan berpanjangan dibawah kepimpinan kerajaan sedia ada,” tegas beliau.

Sehubungan itu kata Edzha, Jingga 13 akan bersama-sama membantu rakyat yang terhimpit dan terkesan dengan pelbagai saluran untuk terus mengibarkan bendera putih sebagai bukti rakyat masih lagi terhimpit dan terdesak bagi meneruskan kelangsungan hidup yang penuh kesukaran tatkala ini.