Malaysia Dateline

Bendera putih: Tidak kisah idea siapa yang penting usaha yang digerakkan

Siapa pun individu yang mencetuskan idea untuk mengangkat bendera putih itu tidak penting, sebaliknya ia perlu dilihat bagaimana usaha tersebut digerakkan, kata Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata, kesan pengisian kepada kempen tersebut adalah lebih utama supaya semua pihak dapat melihat sejauh mana ia memberi makna kepada rakyat daripada sudut lebih ramai pihak cakna untuk menghulurkan bantuan.

Bercakap kepada Malaysia Dateline, Aiman menyifatkan bahawa kempen mengangkat bendera putih itu merupakan usaha keras yang digerakkan rakyat, dan AMANAH menyambut baik inisiatif tersebut atas dasar menyedari kesan buruk yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.

“Awan tidak mahu ambil kredit tetapi gembira dengan kempen rakyat ini di mana AMANAH bersama-sama menjalankan kempen membantu rakyat dalam konteks angkat bendera putih sebagai tanda solidariti kita.

“Ini satu mesej kepada kerajaan (bahawa) berlaku kegagalan dari sudut urus tadbir, apatah lagi apabila mereka buat ‘total lockdown’ tanpa pakej bantuan. Masuk minggu ketiga baru nak umum pakej bantuan,” katanya.

Athirah yang juga Ahli Dewan Negara itu berkata, simbol bendera putih melambangkan sesuci hati memberi bantuan dan sesuci hati memohon bantuan.

Beliau turut menasihatkan agar mereka yang sedang kesusahan untuk tidak menanggung sendirian dan tidak sesekali malu mengangkat bendera putih kerana ada dalam keluarga mereka yang perlu diberi makan.

“Angkat bendera putih kami faham bahawa kamu perlukan bantuan dan akan ada rakyat prihatin hantar bantuan kepada kamu, kerana kita tahu orang Melayu begitu segan untuk memberitahu keadaan mereka.

“Jangan simpan kesusahan diri sehingga memilih jalan yang lebih sukar, bila awak meninggal dunia awak akan meninggalkan ahli keluarga awak yang lebih tragis dan mungkin menjadi contoh yang tidak baik kepada anak-anak. Setiap kesusahan akan ada jalan penyelesaian,” ujarnya.

Justeru beliau menggesa rakyat yang memerlukan bantuan supaya mengangkat apa sahaja kain putih sekalipun ia baju sekolah anak asalkan ia manifestasi bendera warna putih sebagai isyarat rakyat memerlukan bantuan.

“Ada yang fikir susah pula nak cari bendera warna putih, jangan fikir itu semua hanya naik sesuatu yang berwarna putih dan boleh dilihat serta boleh ditafsirkan ia sebagai bendera putih sebagai signal perlukan bantuan, rakyat yang prihatin akan membantu anda.

“Bantuan ini, kita tidak perlu tunggu YB menteri. Siapa yang nampak bendera putih, jika dia ada kemanusiaan dan keupayaan dia pergi bantu,” katanya lagi.

Kempen mengangkat bendera putih mula mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat sejak Sabtu lalu.

Ia sebagai usaha terakhir untuk rakyat yang memerlukan bantuan setelah kerajaan Perikatan Nasional lambat menyediakan bantuan apabila hampir sebulan PKP 3.0 berlaku.

Sementara itu, Timbalan Ketua AWAN Kelantan Nik Faizah Nik Othman yang dikaitkan antara individu terawal memulakan kempen tersebut turut menyatakan hal yang sama dan berpendapat bahawa siapa pun yang menggerakkan inisiatif itu bukanlah isu terpenting.

Sebaliknya beliau seperti dipetik di Facebooknya berkata, perlu dilihat adakah kempen itu mencapai matlamat untuk semua pihak saling membantu.