Malaysia Dateline

Bentang RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan: Adakah Ismail akan hilang sokongan majoriti hari ini?

Bentang RUU Perlembagaan Persekutuan: Adakah Ismail akan hilang sokongan majoriti hari ini? Pagi ini, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan, antaranya berhubungan Perkara 10 yang menyentuh kebebasan berpersatuan yang ditafsirkan kebebasan menganggotai mana-mana parti politik.

Maka persoalannya adakah semua ahli parlimen sama ada di blok kerajaan dan di blok pembangkang akan menyokong RUU Pindaan Perlembagaan tersebut tanpa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dibentangkan sama?

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berpandangan sukar untuk ahli-ahli parlimen, sama ada di blok kerajaan dan di blok pembangkang akan menyokong RUU Pindaan Perlembagaan tersebut yang memberi kuasa yang amat luas kepada Kerajaan.

Katanya, ahli-ahli parlimen berhak meneliti RUU Anti-Lompat Parti terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Bentang RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan: Adakah Ismail akan hilang sokongan majoriti hari ini?
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim

“Ahli-ahli Parlimen berasa lebih selesa dan terjamin jika sebarang perkara asas berhubung tafsiran lompat parti dimasukkan ke dalam pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen

“Dalam bahasa yang mudah, ahli-ahli parlimen tidak mahu memberi cek kosong kepada Kerajaan yang memerintah,” kata beliau dalam kenyataan.

Bagimanapun, jika hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkeras mahu meneruskan pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Hassan berkata, dalam keadaan sekarang besar kemungkinan Kerajaan tidak akan mendapat sokongan majoriti dua pertiga jika pengundian dijalankan.

“Pada pandangan saya, dalam keadaan sekarang besar kemungkinan Kerajaan tidak akan mendapat sokongan majoriti dua pertiga jika pengundian dijalankan esok?

“Kalau hal itu benar-benar berlaku, maka apakah implikasinya?

“Ia membawa makna Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri kalah di Parlimen dalam pengundian perkara penting berhubung dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan kalah sebarang kalah,” ujarnya.

Tegasnya, kalah ini membawa tafsiran Ismail Sabri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekiranya jumlah undi yang menyokong RUU Pindaan Perlembagaan itu kurang daripada 112 sokongan.

Jika itu yang akan terjadi hari ini, katanya suatu krisis Perlembagaan berlaku yang boleh membawa secara konvensyen Perdana Menteri Ismail Sabri wajar meletakkan jawatan dan terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Baginda supaya membubarkan Parlimen di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Namun menurut Hassan, jalan penyelesaian yang munasabah untuk mengelakkan Kerajaan pimpinan Ismail Sabri mengalamai kekalahan pengundian berturut-turut di Parlimen dalam tempoh tidak sampai sebulan ini, kali pertama pada 23 Mac lalu berhubung Akta SOSMA ialah dengan membenarkan ahli-ahli parlimen esok membahaskan dengan panjang lebar segala isu berkenaan Akta Anti-Lompat Parti dan Pindaan Perlembagaan yang bersangkut paut dengannya.

“Yang semoleknya, tiada pengundian dijalankan esok terhadap RUU Pindaan Perlembagaan selepas dibahaskan sepuasnya.

“Perdana Menteri Ismail Sabri wajar mengumumkan satu tarikh terdekat dalam tempoh tidak sampai tiga minggu dari sekarang bahawa Kerajaan berakujanji akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti bersekali dengan RUU Pindaan Perlembagaan untuk bacaan kali kedua bagi dibahaskan dan diputuskan melalui pengundian.

Suatu krisis Perlembagaan berlaku boleh membawa secara konvensyen Perdana Menteri Ismail Sabri wajar meletakkan jawatan dan terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Baginda supaya membubarkan Parlimen di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Rasa-rasanya jalan penyelesaian ini boleh diterima oleh kebanyakan pihak di blok kerajaan dan di blok pembangkang dan kedudukan Perdana Menteri lebih selamat dari serangan dan gugatan Kluster Mahkamah; MoU antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) boleh masuk fasa kedua; pilihanraya umum boleh diadakan tahun hadapan 2023 dan RUU Anti-Lompat Parti lebih mudah diluluskan bersama-sama RUU Pindaan Perlembagaan selepas perbahasan panjang lebar dan proses penelitian yang terperinci dapat dilakukan.

“Suka atau tidak, perlu diterima hakikat oleh pihak Kerajaan dan Pembangkang bahawa fikiran yang tenang, dada yang lapang serta tidak terburu-buru amat diperlukan dalam perkara penggubalan undang-undang Anti-Lompat Parti yang berkait amat rapat dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau lagi.

Baca juga: Aktivis mohon Pengerusi Bernama siar liputan perbicaraan empat hari Bella