Malaysia Dateline

Bentangkan laporan siasatan nahas LRT kepada umum

Kementerian Pengangkutan digesakan membentangkan laporan siasatan nahas LRT baru-baru ini kepada umum kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan awam, kata jurucakap pengangkutan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

Selain itu, kerajaan juga wajar mengambil serius dan memberi jaminan agar tragedi ini tidak berulang, kata ahli parlimen Ledang itu.

“Kesilapan dan kecuaian sebegini yang tidak pernah berlaku wajar menjadi iktibar buat Kerajaan, Kementerian Pengangkutan dan pengendali LRT Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana),” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Tambahan lagi, katanya, aspek kebajikan mangsa yang terlibat dan rakyat yang terkesan akibat insiden ini wajar terus diperhatikan.

“Selain daripada khidmat bantuan buat mangsa yang terlibat, kerajaan harus menggalas tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kemudahan pengangkutan awam,” katanya.

Laporan siasatan nahas LRT oleh Jawatankuasa Siasatan
mengenai insiden ini sudah lengkap dan di dalam pengetahuan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut beliau, laporan itu telah dibuat secara profesional dan komprehensif dalam masa yang ditetapkan.

Datuk Seri Wee Ka Siong juga mendedahkan bahawa mengikut hasil siasatan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati nahas itu disebabkan masalah komunikasi, ralat teknikal dan kecuaian manusia.