Malaysia Dateline

Bentuk kekuatan ‘Grand Coalition’ halang kuasa diktator Muhyiddin

Blok pembangkang tiada pilihan lain selain perlu bersatu mewujudkan kekuatan baharu menerusi gabungan besar atau ‘Grand Coalition’ dan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bagi membuktikan majoriti.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menegaskan, sekiranya berlaku kerjasama dengan mana-mana Ahli Parlimen blok kerajaan, Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan mereka bebas dari ‘kluster mahkamah’.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang itu, jika gabungan besar tidak segera menjadi fokus utama, Kabinet Muhyiddin akan terus mentadbir negara tanpa mempedulikan nilai demokrasi dan keadilan kepada rakyat.

“Penggantungan Parlimen telah menghalang usul undi tidak percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebab itulah darurat dianggap jalan terakhir mengekalkan kuasanya.

“Tindakan ini seolah-olah meletakkan Malaysia di bawah pemerintahan diktator setelah bebas daripada cengkaman kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Pada masa sama, Faiz yang juga seorang peguam itu menjelaskan, biarpun darurat dilaksanakan, namun ia tidak menghalang perubahan Perdana Menteri kerana Muhyiddin telah pun hilang sokongan majoriti.

Menurutnya beberapa siri pilihan raya sebelum ini menyaksikan sendiri Tun Abdul Razak pernah dilantik sebagai Perdana Menteri interim menggantikan Tunku Abdul Rahman ketika darurat pada 1969.

Justeru katanya, darurat dianggap tidak perlu dan jelas ianya dipohon setelah Muhyiddin hilang majoriti di Parlimen.

Sementara itu Faiz juga mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman bahawa PH antara yang terdesak mahukan pilihan raya kerana mempersoalkan motif proklamasi darurat.

“Beliau tidak sedar yang menggunakan darurat untuk tujuan politik adalah kerajaan PN sendiri.

“Buktinya, pentadbiran kerajaan berfungsi seperti biasa, tetapi tidak Parlimen,” kata Faiz yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.