Berada dalam sebuah pakatan strategi tepat AMANAH, kata Dr Ismail

Berada dalam sebuah pakatan strategi tepat AMANAH, kata Dr Ismail

Berada dalam sebuah pakatan merupakan strategi tepat yang telah membawa kejayaan kepada AMANAH sehingga berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri dan pusat bersama-sama dengan komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Negeri Kedah bagi kali ke-3 di Kuala Kedah semalam.

Jelas beliau lagi, strategi ini akan diteruskan dan diperkuatkan sehingga ke semua peringkat bagi mengekalkan kemenangan yang telah berjaya dilakari dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“PH mesti digarap dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi PRU yang akan datang.

“Manakala jumlah ahli AMANAH akan dilipatgandakan termasuklah di semua peringkat cawangan dan juga kawasan.

“Walaupun sebelum ini agak sukar bagi AMANAH mendapat ahli baru, namun begitu perkembangan kini telah membuktikan AMANAH mampu untuk menjadi parti Islam untuk kesejahteraan semua umat manusia,” tegasnya.

Selain itu ujarnya, AMANAH akan diperkemaskan di semua peringkat termasuklah PH supaya gabungan ini dapat menjadi sebuah pakatan yang lebih kuat.

Malah katanya, cabaran yang paling besar dalam kerajaan yang didokong oleh PH di negeri Kedah kini ialah bagaimana untuk membawa pembaharuan setelah budaya lama menjadi sebati sejak 60 tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Kita ingin jadikan AMANAH sebagai sebuah parti Islam yang terunggul dalam negeri dan juga negara ini.

“Beriltizam untuk menjadikan AMANAH sebagai parti pengganti kepada parti lama dan tidak mengamalkan apa yang menjadi amalan parti lama sehingga bercelaru dengan fahaman fanatik.

“Islam tidak menganjurkan fitnah serta bukan menjadi budaya dalam AMANAH,” tambahnya.

Beliau juga berkata, AMANAH perlu punyai integriti yang tinggi di semua peringkat sehingga ia dapat memperlihatkan anjuran Islam yang sebenar.

 

COMMENTS