Impian sebahagian besar rakyat Malaysia untuk melihat Tan Sri Mahiaddin Md Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri akhirnya menjadi kenyataan semalam.
Setelah setahun lebih Presiden Bersatu itu mengambil alih pentadbiran negara, krisis kesihatan yang tercetus akibat wabak Covid-19 tidak nampak tanda-tanda akan surut, sebaliknya kian memburuk dengan kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.
Situasi ini juga bertambah parah natijah daripada pelbagai kesilapan yang dilakukan Kerajaan Perikatan Nasional dalam melaksanakan dasar bagi mengekang jangkitan wabak itu daripada terus meningkat dan mengorbankan lebih banyak nyawa.
Antara dasar tersebut adalah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau “lockdown” yang longgar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah dan dilihat memihak kepada golongan tertentu yang digelar sebagai “kayangan”.
Malah, pengumuman “buka tutup buka tutup” sektor ekonomi juga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan ekoran majikan tidak lagi mampu mengaji mereka selepas terpaksa mengambil keputusan untuk “gulung tikar”.
Menambah lagi kebimbangan rakyat, mereka saban hari disajikan dengan kes jangkitan baharu yang melonjak sehingga mencecah lebih 22,000 kes sehari dengan hampir 13,000 kematian akibat wabak itu direkodkan setakat ini.
Melihat kepada kegagalan-kegagalan ini, maka tidak hairanlah rakyat menggelar kerajaan yang dipimpin Mahiaddin sebagai kerajaan gagal dan muncul desakan yang kuat agar bekas pemimpin UMNO itu berundur dengan segera.
Perlu diingatkan, kemarahan rakyat juga bermula daripada pengkhianatan Mahiaddin dan pengikutnya bersama kumpulan kleptokrat dalam UMNO yang membelakangi mandat rakyat dengan membentuk sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik.
Siapa selepas Mahiaddin?
Justeru, pemergian Mahiaddin selaku pemanas punggung kerusi perdana menteri tidak perlu ditangisi kerana beliau terbukti gagal menjalankan tugas untuk memastikan negara ini terhindar daripada ancaman kesihatan yang semakin meningkat.
Kini, persoalan siapa yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mahiaddin masih menjadi tanda tanya. Apa yang pasti, pemimpin yang akan menggantikan beliau bakal memikul tanggungjawab dan tugas yang berat bagi mengepalai jentera perang melawan Covid-19.
Timbul cakap-cakap yang mengatakan mantan timbalan perdana menteri, Ismail Sabri akan dicalonkan untuk menjadi perdana menteri baharu. Ismail adalah antara pemimpin UMNO yang dilihat cenderung berpihak kepada Mahiaddin.
Beliau juga adalah antara watak biasa yang muncul di kaca televisyen menyampaikan SOP serta dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan pada era pandemik ini.
Bagi Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, Ismail tidak layak untuk mengisi jawatan penting itu kerana telah dicop sebagai “muka awam kerajaan yang gagal menguruskan wabak”.
Malah veteran DAP itu turut menegaskan bahawa Ismail sebagai perdana menteri hanya akan meneruskan dasar kakistokrasi dan kleptokrasi sedia ada yang hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal.
Justeru, beliau menyeru agar Anwar Ibrahim diangkat menjadi perdana menteri bagi membawa masuk pasukan dan dasar yang segar bagi menangani penularan Covid-19 di negara ini.
“Malaysia memerlukan seorang perdana menteri baharu dan kepimpinan baharu di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik boleh bercita-cita dengan Impian Malaysia, di mana negara kita menjadi sebuah negara berkelas dunia, dan mengambil langkah untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia untuk menjadikan negara kita ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’,” ujar Kit Siang.
Kesimpulannya, Ismail adalah produk kerajaan gagal yang dipimpin Mahiaddin yang seharusnya tidak diberi peluang untuk memimpin negara dalam tempoh yang amat mencabar ini.
Negara memerlukan pendekatan dan strategi baharu bagi menangani wabak. Mengulangi strategi lama berulang kali seperti yang dilakukan kerajaan Mahiaddin tidak membuahkan hasil yang diinginkan rakyat yang mahu segera bebas daripada belenggu ketakutan dan keresahan.
Kehilangan orang tersayang, terputus mata pencarian dan perasaan ingin membunuh diri adalah antara realiti yang dihadapi oleh rakyat kebanyakan sehari-hari. Namun, sentimen ini tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan Mahiaddin dan barisan kabinetnya.
Maka, peristiwa peletakan jawatan Mahiaddin pada 16 Ogos adalah kemuncaknya, dan jika ada yang menitiskan air mata, ia bukanlah air mata kesedihan sebaliknya atas rasa syukur kerana negara tidak lagi dipimpin oleh pemimpin dan sebuah kerajaan yang gagal.