Berang dikutuk dalam ‘group WhatsApp’, doktor wanita belasah tiga pekerja farmasi

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang doktor wanita mungkin berdepan dengan hukuman penjara apabila didapati membelasah tiga orang kakitangan yang bekerja di farmasi miliknya.

Akibat daripada insiden berkenaan, salah seorang pekerja mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan sempat pengsan sebelum diselamatkan orang awam.

Difahamkan, kejadian tersebut bermula apabila doktor wanita berusia 31 tahun itu mendapati tiga pekerjanya terlibat dalam kumpulan sembang di aplikasi Whatsapp.

Apa yang memburukkan keadaan adalah pekerja tersebut bertindak bercakap buruk mengenai doktor yang merupakan majikan mereka di dalam kumpulan sembang itu.

Tidak berpuas hati dirinya menjadi bahan gosip, doktor berkenaan naik berang dan gagal mengawal emosinya lalu memukul tiga pekerjanya itu di hadapan orang ramai.

Difahamkan, insiden yang berlaku di daerah Korumba, Bandar Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia itu sempat dirakam oleh saksi kejadian, lapor iNews Medan.

Salah seorang mangsa yang terlibat, dikenali sebagai Zahra Sagita Tawulo kemudian membuat keputusan untuk melaporkan perbuatan majikannya itu kepada pihak polis.

Zahra yang menuntut keadilan itu berharap majikannya, Ershanty Rahayu Safitrinas Yasin menerima hukuman akibat penganiayaan yang dilakukan pada 30 November lalu.

“Saya tidak boleh menerima kenyataan bahawa kami dianiaya. Oleh yang demikian, kami laporkan insiden ini di Balai Polis Daerah Kendari agar dapat diproses mengikut hukum,” katanya memetik laporan iNews Medan.

Antara tiga kakitangan yang terlibat, Zahra dikatakan mengalami kecederaan paling berat oleh kerana beberapa bahagian tubuhnya mengalami luka dan lebam-lebam.

Mengesahkan kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kendari iaitu AKP Fitrayadi memaklumkan bahawa doktor tersebut sempat menghilangkan diri selama dua hari.

Suspek akhirnya berjaya ditangkap di Jalan Malik Raya, Kendari untuk disoal siasat oleh pegawai polis daerah daripada unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA).

“Sekiranya terbukti bersalah, suspek akan dihukum mengikut pasal 351 ayat 1 KUHP mengenai penganiayaan, dengan ancaman penjara selama 3 tahun.” Jelas Fitrayadi.

Baca juga: Lan Solo, Syura dikecam tak sensitif, ‘post’ video bergelak ketawa selepas terlepas saman RM2.5 juta