Berang SPR pilih Rabu, BN bakal hilang undi pekerja

Pemilihan hari Rabu pada 9 Mei bagi PRU14 mengundang sindiran rakyat.

Barisan Nasional (BN) dilihat bakal kehilangan undi daripada golongan pekerja dan majikan yang tidak berpuas hati dengan pemilihan pertengahan minggu sebagai hari membuang undi.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih 9 Mei sebagai hari mengundi mengundang kemarahan orang ramai termasuk dua kumpulan tersebut kerana menyukarkan pelbagai urusan.

Kewajaran Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Annuar Musa memilih tarikh itu juga gagal dijelaskan apabila tidak melayan soalan pemberita pada sidang media semalam.

Golongan pekerja di perantauan seperti pengundi di Kelantan yang mencari nafkah di Lembah Kelang serta kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah segmen pengundi paling teruk terkesan.

Malah, pengundi yang bekerja dan tinggal di kawasan Lembah Kelang turut berang memandangkan terpaksa membuang masa menempuh kesesakan lalu lintas untuk pergi dan pulang dari pusat membuang undi.

Hari buang undi pada PRU 1999 yang jatuh pada Isnin diisytihar sebagai cuti umum.

Banyak pihak menyelar keputusan SPR yang sebelum ini dilihat bersekongkol dengan BN dengan menganggap peruntukan pengendalian PRU-14 yang mencecah RM500 juta tidak berbaloi dalam memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab.

Walaupun pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Pilihan Raya Umum (PRU) pernah berlangsung pada hari bekerja tetapi situasinya adalah berbeza.

Pada PRU 1982, pemilih membuang undi pada 22 April iaitu Khamis ketika cuti umum kebanyakan negeri pada masa itu pada Jumaat dan Sabtu.

Pola sosio-ekonomi masyarakat awal tahun 80-an itu juga menyaksikan sebahagian besar pengundi masih bekerja di sekitar kawasan penempatan masing-masing selain tinggal di kawasan luar bandar.

Seterusnya, bagi PRU 1995 dan 1999 pula, kedua-dua hari membuang undi pada penggal itu diisytiharkan sebagai cuti umum.

Semakan mendapati pada PRU 1995, Mahathir mengumumkan 25 April yang jatuh pada hari Selasa sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat membuang undi.

Cuti umum juga diisytihar pada 29 November 1999 dalam PRU ke-10. Pemilihan Isnin sebagai hari membuang undi ketika itu bagaimanapun dilihat memberi peluang terhadap kempen di saat-saat akhir memandangkan berturutan dengan Sabtu dan Ahad.

Berbeza PRU pertama bagi pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kali ini, tiada pengisytiharan cuti umum wajib pada 9 Mei.

Bahkan, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) berkenaan sebaliknya meletakkan tanggungjawab kepada pihak majikan pula untuk memudahkan pekerja keluar membuang undi.

Bekas Ahli Parlimen Rompin itu mengaitkan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954) yang mewajibkan majikan membenarkan pekerja mereka mengundi.

Akibat kedegilan memilih tarikh pertengahan minggu sebagai hari membuang undi, sebahagian besar pemilih tidak mempunyai banyak pilihan termasuk terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Jika keluar mengundi kemudian masuk bekerja semula pun, banyak pihak melihat itu tidak menyumbang pada produktiviti kerja apabila mengambil kira faktor jarak dan masa bagi perjalanan antara pusat membuang undi dan tempat kerja.

Seramai 14,940,624 pemilih layak mengundi pada PRU-14 yang buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya menyaksikan istilah kleptokrasi dikaitkan dengan pemimpin tertinggi BN.

Daripada jumlah itu, 14,636,716 adalah pengundi biasa manakala 300,255 pemilih awal akan membuang undi pada 5 Mei.

Selain itu, terdapat 3,653 pengundi luar negara turut menentukan pembentukan kerajaan pada penggal ke-15 akan datang.

6.8
OVERALL SCORE
: 6.0
3 user votes x 7.0
CATEGORIES
TAGS