Malaysia Dateline

Beranikah Mahiaddin letak jawatan jika Anwar gagal ditumbangkan 19 Disember nanti?

Tidak seperti Mahiaddin Md Yasin yang bertindak menggantung Parlimen melalui perisytiharan darurat untuk mengelak keabsahannya diuji, Anwar Ibrahim sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak menunggu lama untuk menunjukkan kejantanannya dalam hal tersebut.

Menyahut cabaran Mahiaddin yang sedang lara, kecewa dan mungkin meleleh air liur kerana gagal menuruti jejak Tun Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Anwar menegaskan, keabsahannya akan segera ditentukan apabila Parlimen mula bersidang pada 19 Disember depan.

Menurut beliau, undi percaya terhadapnya adalah agenda terawal sidang Parlimen akan datang yang mana usul berkenaan akan dibawa oleh pihak kerajaan sendiri.

Sebelum Anwar mengangkat sumpah di Istana Negara semalam, Mahiaddin tampil mengadakan sidang media mempertikaikan keabsahan Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri.

Beliau seterusnya mencabar Anwar untuk mengemukakan jumlah sokongan yang dimilikinya bagi membuktikan kesahihan perlantikannya itu.

Mahiaddin sebaliknya yakin beliau telah mendapat majoriti yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri, adalah wajar beliau membuktikan dirinya mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” tambah Pengerusi PN itu lagi.

Dalam hal ini, walaupun Mahiaddin telah menghantar sejumlah SD yang didakwa mencukupi untuknya dilantik sebagai Perdana Menteri kepada Istana Negara, tetapi barangkali beliau terlupa bahawa telah berlaku beberapa perubahan selepas itu.

Pertama, 10 Ahli Parlimen BN yang sebelum itu menandatangani SD menyokong beliau telah menarik balik sokongan mereka.

BN seterusnya membuat keputusan berkecuali dan ingin kekal sebagai pembangkang saja.
Tetapi setelah titah Agong agar dibentuk kerajaan perpaduan yang Mahiaddin sendiri menolaknya, MT Umno secara sebulat suara memutuskan mereka bersedia menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN.

Tak fahamkah Mahiaddin dengan ayat pendirian Umno sedia menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN itu?

Kalau tak faham, biar saya fahamkan – oleh sebab hanya ada dua gabungan yang mendapat kerusi terbesar iaitu PH dan PN, maka sudah tentulah salah satu antara keduanya itu yang layak menerajui kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan Agong.

Apabila Umno memutuskan sedia bersama dengan kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN, pastilah ia bermaksud BN memilih PH.

Faham ke tidak lagi Mahiaddin?

Kedua, GPS di Sarawak turut mengubah pendirian dengan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri setelah mereka mendapat bantahan daripada sebahagian penyokongnya sendiri yang bimbang dengan pengaruh ekstremisme Pas yang kini lebih besar dalam PN.

Jadi, celah mana yang Mahiaddin mendakwa beliau masih mempunyai sokongan majoriti?

Apa pun, keberanian Anwar menguji keabsahannya pada 19 Disember ini iaitu tidak sampai sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri memang suatu tindakan berani dan amat terpuji.

Bermakna beliau sedia mempertaruhkan jawatannya dan berisiko kehilangan jawatan Perdana Menteri jika gagal dalam undi percaya itu.

Tetapi, bagi Mahiaddin yang sekadar berani mencabar itu, apa pertaruhan yang mahu diletakkannya?

Kalau Anwar berani mempertaruhkan jawatan Perdana Menterinya, beranikah Mahiaddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN dan Presiden Bersatu jika Anwar tidak tumbang pada 19 Disember nanti?

Baca juga PM Singapura ucap tahniah, tidak sabar mahu jumpa Anwar

Baca juga Nyawa hampir melayang, nasib pokok jatuh selepas sudah keluar kereta