Malaysia Dateline

Beranikah Umno tinggalkan Bersatu?

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyebut sesuatu yang tepat bahawa Umno seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ di dalam Perikatan Nasional (PN) apabila Umno dilihat terlebih meminta.

Katanya Umno sebagai sebuah parti yang berpengalaman sepatutnya memulakan usaha untuk membina jajaran baru dengan parti-parti yang mempunyai kerusi parlimen terbanyak. (Malaysia Dateline 4 January 2021)

Khir berkata Umno melakukan kesilapan besar apabila membentuk kerajaan dengan parti-parti kecil bilangan di Parlimen seperti Bersatu, Pas dan kumpulan yang lompat parti.

Pandangan Khir ini adalah susulan lambakan suara-suara yang tidak berpuas hati dengan layanan Bersatu ke atas Umno yang merupakan parti dengan jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan PN.

Mungkin sebagai suatu soalan mencabar Umno kerana apabila meratanya bantahan dan tidak puas hati daripada media sosial dan mesyuarat bahagian, tentulah Umno harus melakukan sesuatu atau mengambil pendirian tegas berhubung dengan pandangan-pandangan akar umbi dari cawangan dan bahagian itu.

Namun beranikah Umno melakukan penjajaran baharu itu, misalnya bersekutu dengan parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan terkini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa 143 dari 191 (mungkin dah lebih sekarang dikatakan mencecah 99 peratus) bahagian Umno (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.

Menurut laporan media Zahid mendakwa bahawa maklum balas itu dikumpulkan melalui kumpulan WhatsApp yang dianggotai semua pemimpin bahagian.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Rabu ini.

“Saya berharap keputusan yang akan dibuat nanti diterima sebagai keputusan parti kerana jika satu keputusan sudah dibuat, maka semua harus akur dan diikuti.

Kekadang sokongan Whatapps tidak boleh menentu kepada sesuatu keputusan dan apabila berdepan keputusan yang lain akan dicapai.
Namun sekali lagi disebutkan sejauhmanakah keberanian Umno melakukan tindakan sedemikian.

Dalam hubungan ini bekas pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Jeniri Amir berkeyakinan bahawa gabungan Pas dan Bersatu tidak akan dapat menewaskan Umno sekiranya parti-parti sekutu berkenaan bertembung pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tambah pemerhati politik itu, kedua-dua parti itu juga dilihat “bertenggek” atas kekuatan sokongan parti dominan seperti Umno selama penubuhan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Tidak keterlauan untuk dikatakan tanpa Umno, Bersatu dan Pas tidak akan menjadi kerajaan sekarang. Walaupun kedua-dua parti ini (Bersatu dan Pas) ingin bekerjasama untuk pilihan raya akan datang namun masih sukar untuk mereka tewaskan Umno

Akan tetapi beranikah Umno untuk tidak mendapat sokongan dari Pas dan keluar daripada Muafakat Nasional (MN)? Umno dan Pas telah menandatangani piagam untuk memeterai perjanjian MN yang dibuat September 2019. Namun selepas perubahan kerajaan, Pas dilihat lebih cenderung kepada Bersatu dan kini menjadi anggota PN.

Dalam hubungan ini, Umno Terengganu sekali lagi menyuarakan pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam PRU15. Pengerusinya Ahmad Said juga akan merampas semula kerusi yang dimenangi Umno pada PRU lalu yang kini dipegang Bersatu, pada PRU akan datang.

“Umno juga akan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu pada PRU15 kerana kerusi itu sebelum ini merupakan kerusi tradisi milik Umno,” katanya.

Namun Umno menyasarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15, selepas mengambil kira rundingan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN), Pas dan PPBM.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, berdasarkan formula awal rundingan, Umno juga akan terus mempertahankan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU14.

Beranikah Umno berhadapan dengan hakikat yang mereka akan bergabung bersama-sama PH kelak untuk menang pilihan raya ke-15 ini? Adakah mereka akan mendapat sokongan pengundi jika DAP yang dimomokkan sebagai anti-Melayu dan pro Komunis kini bersama-sama dengan Umno?

Adakah Umno benar-benar mahu mufarakah dengan Bersatu dan merosakkan hubungan dengan Pas?

Pengarah Pilihan Raya UmnoTajuddin Abdul Rahman tidak menolak parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk bekerjasama dengan PKR, DAP dan AMANAH.

Katanya, dalam politik kerjasama dengan mana-mana pihak bukan suatu yang mustahil.

Apa yang dapat diperhatikan di sini kemungkinan itu ada.

PPBM juga didakwa cuba untuk mencuri ahli-ahli Umno dan Pas di akar umbi. Orang-orang Umno di semua peringkat telah lama sedar akan niat PPBM untuk meruntuhkan Umno.

Namun jika tindakan ini diambil beranikah Umno berhadapan dengan berbondong-bondong ahli-ahlinya yang lari ke Bersatu nanti?

Masalahnya Umno masih tidak tetap pendirian sentiasa memberikan alasan sokongan kepada PN atas dasar individu bukan parti kalau begitu kenapa berada di bawah payung Umno kalau bermain dengan sokongan individu.

Persoalan Umno bergerak sebagai satu parti yang padu dan utuh masih penuh dengan kesangsian kerana ia telah berpecah kepada tiga kelompok atau kluster, pertama yang menyokong Bersatu, kedua, yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan akhirnya yang menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah wujud juga sub-sub kelompok yang memerhatikan situasi kewajaran melompat ke kelompok atau kluster mana tetapi lebih menjurus kepada kepentingan diri, survival untuk menjadi ahli parlimen pada pilihan akan datang dan kepentingan perniagaan mereka.

Dalam hal kluster Anwar ini yang samar-samar sokongan mereka, beranikah ahli parlimen Umno menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar tanpa perlu berselindung contohnya di sebalik SD lagi?

Bagaimanapun Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menegaskan Umno tidak boleh “bersendirian” dalam arena politik sekiranya ingin memperoleh kejayaan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini balik kepada soalan asas beranikah Umno?

Annuar berkata bergerak secara solo bukanlah satu formula kemenangan kepada Umno dan beliau juga tidak mempersetujui keputusan itu sekiranya wujud beberapa pihak dalam parti yang menyuarakan pendapat untuk menolak segala perikatan yang terjalin dengan parti lain.

“Kita (Umno) jangan khayal hendak bergerak solo, kalau ada yang mahukan, maka saya tidak setuju. Ia bukanlah formula kemenangan. Saya pun sayang parti tetapi kalau pendapat saya salah, maka salahlah.

Namun Umno Putrajaya pula menyuarakan pendirian menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor juga berharap hubungan Umno dan Bersatu dapat diperbaiki.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Annuar Musa, sanggup dipecat asalkan dapat mempertahankan “muafakat” parti Melayu dan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Beliau juga menegaskan akan tetap mempertahankan keputusan MKT menolak DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Kalau nak pecat kerana itu silakan. Nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar silakan,” katanya di Facebook. Bagaimanakah Zahid hendak mencapai suatu konsensus atau majoriti dua pertiga jika beberapa ahli MKTnya mengambil pendirian berbeza daripada suara akar umbi?

Umno harus menerima hakikat yang ia sudah berpecah dan ahli-ahli parlimennya sendiri tidak berani untuk melangkah sebagai sebuah parti yang disegani lihatlah kepada kenyataan Annuar Musa dan Ku Nan di atas.

Agak sangsi juga sejauh manakah keberanian Umno ini atau sekali lagi adakah sekadar suara-suara desakan amaran yang berulangan kepada Bersatu supaya jangan lagi ‘membuli’ Umno jika mahu kerajaan sedia ada kekal selepas PRU-15?

Dalam hal ini beranikah Umno ‘bercerai’ dengan Bersatu mahupun Pas atau hanya ‘sembang-sembang di media sosial?
Sebagai parti yang mewakili majoriti orang Melayu di negara ini, maka beranikah Umno mengambil bersejarah ini?
—————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)