
Berapa bonus tahun ini?
Kira-kira dalam seminggu dua yang akan datang ini, pasti banyak ulasan masih tertumpu kepada Belanjawan 2020 yang baru dibentang tidak berapa hari lalu.
Untuk sekian lama sejak Mei 2018, ada juga angin enak sedang mengiringi musim tengkujuh yang sedang melanda kita. Kira-kiranya juga, Putrajaya boleh menarik nafas lega melihat kutipan suara berkaitan Belanjawan 2020 seperti antaranya yang disiar dalam portal MalaysiaKini. Rata-rata memuji dan memberi markah yang positif, kecuali dalam isu perumahan yang masih berdepan kritikan.
Kementerian Perumahan malah sampai menerbitkan penafian bahawa langkah penurunan harga ambang bagi unit rumah yang layak dibeli warga asing sebagai usul dari pihak mereka. Perkara sebegini jarang benar kita lihat.
Ketika belanjawan sedang dibentangkan tempoh hari, saya masih dalam dewan kuliah. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) misalnya, sekadar pengalaman sendiri; memang ada tradisi dalam kalangan segelintir pelajar untuk mengikuti pembentangan belanjawan secara teliti.
Sepuluh tahun lalu, waktu saya masih penuntut tahun pertama, senior kami akan menyambung siaran radio internet dari komputer riba mereka kepada pembesar suara kolej kediaman agar penghuni lain dapat mendengar bersama. Sekarang, pelajar hanya perlu melayari portal internet atau media sosial dari telefon pintar masing-masing.
Saya tidak tahu apa bentuk berita yang ditunggu oleh teman-teman dari institusi lain, namun jika di UPSI, sentiasa adalah sektor pendidikan, dan sedikit sebanyak pembangunan sukan – minat umum golongan muda.
Dalam dewan kuliah tempoh hari, sambil-sambil mendengar syarahan di hadapan, teman di sebelah melayari perkembangan dari Parlimen. Riak terkejut dan gembira dari wajah mereka membuatkan saya turut mengeluarkan telefon pintar sendiri. Melihat peruntukan amat besar buat sektor pendidikan; jauh melebihi sektor lain – saya ikut tersenyum tanda puas.
Dalam ruang sembang teman-teman politik di aplikasi WhatsApp, berduyun-duyun pesanan masuk. Berduyun-duyun juga dokumen berkaitan belanjawan dikongsi merata.
Untung zaman teknologi maklumat – dokumen dan perincian belanjawan negara hanya di hujung jari. Tak perlu tercari-cari, tak perlu menunggu ringkasan dalam akhbar keesokan hari, tak perlu juga mengikuti siaran langsung.
Bagi saya, di sebalik keresahan melihat masyarakat kita yang lebih gemar memberi tumpuan pada perkara-perkara remeh – saya kagum dengan kecelikan rakyat meneliti belanjawan.
Sejak kecil, saya sentiasa ingat bagaimana orang dewasa gemar mengikuti pembentangan belanjawan negara dari tahun ke tahun. Ia adalah acara tahunan yang sentiasa ditunggu-tunggu.
Setiap kali tiba pembentangan belanjawan, memori saya akan mengimbau imej orang-orang dewasa yang melekat di kaca televisyen, mahupun corong radio.
Tidak pernah mereka menukar siaran, tidak pernah mereka mengeluh menunggu selama berjam-jam. Tidak pasti rakyat negara lain bagaimana, namun rakyat Malaysia amat gemar mendengar belanjawan.
Mengingati hal tersebut, saya dengan giat mengirimkan semula dokumen-dokumen belanjawan dari ruang sembang politik ke ruang sembang lain, terutama ahli keluarga yang jauh dan dekat.
Saya ingin berkongsi rasa teruja dan maklumat penting ini bersama mereka. Saya yakin, mereka juga seperti saya ingin mengetahui bagaimana perbelanjaan negara bakal diurus tahun hadapan.
Naifnya saya. Kekaguman saya sejak kecil, yang mungkin dikukuhkan pula dengan tradisi terpencil penuntut UPSI selama ini, jauh terpesong dan silap.
Orang dewasa yang saya kagumi selama ini, terutama Melayu kelas pertengahan yang kebanyakannya adalah penjawat awam; tekun mendengar belanjawan selama berjam-jam bukan atas keperihatinan terhadap dasar negara.
Tidak, mereka tidak peduli berapa banyak peruntukan untuk pendidikan negara. Mereka tidak peduli bagaimana peruntukan kesihatan bakal dibelanjakan. Mereka juga tidak peduli kalau peruntukan mengurus dan membangun makin seimbang. Mereka jauh sekali peduli bagaimana hutang dan hasil negara diuruskan.
Setelah hampir sejam saya kongsikan teks asal ucapan Menteri Kewangan, disusuli infografik lengkap, analisis ringkas, rajah perbandingan dengan belanjawan lampau, serta pautan-pautan berguna untuk rujukan semua orang – respon pertama yang masuk ke telefon pintar saya adalah “Berapa bonus tahun ni?”
Saya tergelak besar dalam hati. Pada umur 30 tahun, baru saya sedar betapa salahnya tafsiran saya atas pengalaman sendiri. Pada umur 30 tahun, baru saya faham, apa yang membuatkan orang dewasa melekat pada kaca televisyen di hari pembentangan belanjawan selama ini.
Sekilas juga, saya terkenangkan Kongres Maruah Melayu baru-baru ini. Sekali lagi, saya tergelak besar dalam hati.