Malaysia Dateline

Berapa jumlah tunggakan peneroka? Felda perlu tunjuk penyata sebelum lupus hutang

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) digesa menyemak semula hutang-hutang peneroka yang menjadi pertikaian sejak 20 tahun yang lalu.

Menurut bekas Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Datuk Mazlan Aliman, kegagalan Felda menyediakan penyata yang tepat dan lengkap meskipun pelupusan dibuat kepada 80 peratus hutang peneroka, menyebabkan ianya masih menjadi pertikaian.

Ini kerana katanya, ada beberapa peneroka dan waris sebelum ini mendakwa bahawa jumlah yang dinyatakan bukanlah gambaran sebenar.

“Bahagian Kewangan Felda mesti memperbetulkannya semula,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mazlan berkata, elemen dalam sesuatu kontrak termasuk perjanjian antara Felda dan peneroka mestilah melibatkan proses tawaran, penerimaan dan balasan (consideration) yang perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Dalam hal ini, adalah tidak adil jika beban perlanggaran terma perjanjian hanya ditanggung peneroka.

“Tindakan perundangan boleh dikenakan kepada peneroka dan waris manakala peneroka boleh mengadu kepada Jawatankuasa Tanam Semula jika kesalahan dilakukan pengurusan Felda,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mazlan tidak menolak kemungkinan wujud unsur berat sebelah dalam perjanjian yang ditandatangani peneroka sama ada dalam perjanjian dengan Felda, perjanjian tanam semula, perjanjian pembelian saham FGV dan kini perjanjian penghapusan hutang peneroka.

Justeru katanya, pindaan atas terma perjanjian wajar dibuat untuk memastikan Felda juga dikenakan tindakan perundangan jika melakukan perlanggaran.

Pada ketika ini, jumlah peneroka asal yang masih hidup tidak sampai 40 peratus.

Untuk rekod juga, Generasi Baharu Felda adalah kelompok majoriti.

“Dari sudut Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, apa status mereka? Sebagai ‘waris’, mereka yang bertanggungjawab atas beban hutang dan terma perjanjian.

“Adalah penting (agar) Akta GSA 1960 dipinda bagi memuktamadkan status ‘waris’ agar ianya jelas dari sudut akta; apatah lagi dibawah kaedah faraid,” katanya lagi.

Malam tadi, sesi perbincangan secara maya telah diadakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed bagi membincangkan mengenai pelupusan sebahagian pinjaman peneroka, susulan dakwaan peneroka Felda dikenakan syarat bagi tujuan pelupusan hutang tersebut.

Justeru, Mazlan berharap perbincangan bersama Menteri akan disusuli dengan tindakan penambahbaikan.

Terdahulu, kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.