Malaysia Dateline

Berapa ramai DAP pernah letak calon Melayu?

Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP sentiasa kekal sebagai sebuah parti berbilang kaum, berjuang demi kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, atau Orang Asli.

Buktinya, DAP mempunyai perwakilan rakyat daripada semua komuniti kecuali Orang Asli, setakat ini.

Justeru, pada sambutan parti itu yang ke-55 minggu ini yang bertemakan ‘Demokratik. Adil. Peduli: MUHIBAH’, mari kita menyingkap sejarah panjang dan luas tentang penglibatan orang Melayu di dalam DAP.

Bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 iaitu pilihan raya pertama disertai DAP, menyaksikan parti itu meletakkan 10 calon Melayu iaitu sembilan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen. Dua daripada mereka berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Pada pilihan raya umum 1974 pula, DAP telah menghantar 38 orang calon Melayu. Dalam pilihan raya terbabit, 14 daripada 33 calon DAP yang bertanding di DUN Perak adalah calon Melayu. Salah seorangnya, Daeng Ibrahim Othman menewaskan calon MCA di kerusi DUN Pasir Puteh.

Turut serta pada ketika itu adalah nama-nama seperti Ibrahim Singgeh, Fadzlan Yahya dan Salleh Nakhoda Hitam. Ibrahim terlebih dahulu menang di DUN Tapah, Perak pada PRU 1969, manakala Hassan Ahmad menang di DUN Si Rusa, Negeri Sembilan.

Fazlan Yahya sedang berpidato.

Tidak berhenti di situ, DAP kemudiannya menghantar 57 calon Melayu pada tahun 1978, kemudian 25 calon Melayu pada tahun 1982, di mana Fadzlan Yahya menang di DUN Pasir Bedamar, Perak.

Bekas pemimpin kesatuan sekerja, Ahmad Nor menjadi ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu yang pertama selepas memenangi kerusi Bayan Baru, pada 1990.

Dalam PRU berikutnya pada tahun 1995, 10 orang calon Melayu dipertaruhkan di Pulau Pinang.

Pada PRU 2013, DAP meletakkan empat calon Melayu di tiga kerusi Parlimen iaitu Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Mahdzir Ibrahim di Tanjung Piai dan satu kerusi DUN Pahang melibatkan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Mentakab.

Selepas itu, DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014.

Bagi PRU 2018, calon-calon Melayu DAP untuk kerusi DUN bertambah kepada sembilan.

Mereka ialah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Edry Faizal (Dusun Tua), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) tetapi kini telah meninggalkan parti, Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Rara (Ketari), dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis).

Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub.

Jadi, di mana asasnya dakwaan mengatakan DAP adalah sebuah parti Cina? DAP telah pun meletakkan calon Melayu dalam PRU sejak di awal penubuhannya lagi.

Penyertaan demi penyertaan masyrakat berbilang kaum ke dalam DAP sehingga hari ini membuktikan komitmen DAP untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan berdedikasi terhadap usaha pembinaan negara, mendapat sokongan rakyat.