Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia segera mengumumkan jumlah sebenar rakyat Johor yang telah berdaftar sebagai pengundi pos untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.
Beliau berkata, ini ekoran dakwaan bahawa dianggarkan cuma 1 peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari yang lalu.
Justeru beliau menegaskan agar SPR melanjutkan tarikh pendaftaran undi pos kerana tempoh sembilan hari diberikan amat singkat.
“SPR mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan pengundi yang layak mengundi diberikan hak tersebut, termasuk bagi yang berada di luar negara.
“Tempoh 9 hari yang telah diberi SPR ini amat singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dan berhak dapat mendaftar serta melaksana tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara.
“Dalam keadaan pandemik yang belum reda ini, proses demokrasi tidak harus “dikuarantin” atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
