Berarak ke Parlimen tuntut kenaikan gaji lebih relevan

Bertepatan dengan Hari Membasmi Kemiskinan Antarabangsa semalam, gabungan badan pekerja dan aktivis sosial berhimpun secara aman di hadapan Parlimen bagi menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan gaji minimum pada kadar RM1,050.

Mereka berpendapat pengumuman kenaikan gaji hanya RM50 sebagai satu keputusan yang tidak masuk akal memandangkan kos sara hidup semakin meningkat pada masa ini.

Demonstrasi aman dihadiri lebih 100 pekerja itu disertai ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka berarak dari Padang Merbok bermula jam 10.30 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen apabila dihalang anggota dan pegawai polis yang berkawal di situ.

Peserta demonstrasi diketuai Setiausaha Agung MTUC, J Solomon turut bersorak melaungkan ‘hidup rakyat, bantah 1050 dan bangkit rakyat.’

Selepas kira-kira 20 minit kemudian, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengambil inisiatif bertemu dengan peserta terbabit di tempat mereka berhimpun.

Pemimpin DAP itu seterusnya menjemput kira-kira 20 peserta mewakili organisasi masing-masing untuk mengadakan perbincangan dengannya.

MTUC sebelum ini dilapor akan menyerahkan memorandum bantahan gaji minimum baru RM1,050 kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen dalam usaha supaya ia disemak semula.

Golongan pekerja wanita juga menyertai perarakan bantah gaji minimum RM1,050 di bangunan Parlimen semalam.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote