Malaysia Dateline

‘Beras Annuar Musa’ untuk rakyat sempena wabak Covid-19

Seperti sudah menjadi kelaziman, barangan bantuan daripada pemimpin Umno-BN akan turut memaparkan wajah wakil rakyat yang memberi sumbangan.

Terkini, ketika wabak koronavirus baharu (Covid-19) sedang mengganas, wajah Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa merangkap Ahli Parlimen Ketereh pula terpampang di kampit beras.

Annuar, 63, hampir 10 tahun pernah berkhidmat dalam pentadbiran Kabinet kerajaan pusat juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat dan ADUN Kok Lanas dan Ahli Parlimen Peringat.

Difahamkan, makanan ruji rakyat bertampalkan wajah Annuar itu untuk diagih kepada orang ramai sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

Foto timbunan beras jenama Faiza Emas setiap satu seberat 5 kilogram itu tular di media sosial sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati aktivis NGO.

Rata-rata mereka menyifatkan adalah tidak adil apabila NGO dilarang menyampaikan bantuan tetapi orang politik boleh malah sempat mengambil kesempatan mempromosi diri di sebalik sumbangan yang diagihkan.