“Beras beli ikut kilo, nasi lauk telur dan kicap,” keluh penoreh getah

“Beras beli ikut kilo, nasi lauk telur dan kicap,” keluh penoreh getah

Hasil pendapatan yang terlalu rendah daripada garis kemiskinan nasional sekaligus menjejaskan pengambilan makanan berkhasiat dalam kalangan keluarga penoreh getah.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hasil pendapatan yang terlalu rendah daripada garis kemiskinan nasional sekaligus menjejaskan pengambilan makanan berkhasiat dalam kalangan keluarga penoreh getah.

Tinjauan Malaysia Dateline di daerah Sik, Kedah mendapati kejatuhan harga getah menyebabkan sebahagian besar penoreh terutama secara pawah terpaksa mengikat perut.

Mohd Nor AhmadPenoreh getah, Mohd Nor Ahmad, 50, berkata, pendapatan yang diperoleh hasil daripada menoreh jauh daripada mencukupi memandangkan harga makanan dan keperluan dapur pada masa ini yang semakin melambung.

“Harga (getah) sekarang sembilan kupang (90 sen) sekilo. Kami dapat hanya lebih kurang RM300 sebulan. Kalau yang (menoreh) pawah lagi rendah (pendapatan).

“Bukan sedikit penoreh sekarang ini terpaksa beli beras ikut kilo. Tak mampu dah beli beras dalam kampit. Nasi lauk telur dan toyu (kicap) dah jadi kebiasaan.

“Ikan dan sayur mungkin boleh cari sekitar rumah tapi minyak, garam, gula, tepung kami kena beli,” keluhnya dari Kampung Baru Zainal Abidin, Sik.

Justeru golongan penoreh, ujarnya berharap kerajaan dapat segera menetapkan harga lantai getah pada RM3.50 sekilogram berbanding bantuan berbentuk barangan asas harian yang bukan diberi secara bulanan.

“Bantuan sara hidup yang kerajaan negeri nak beri banyak mana sangat. Itu pun sekali beri (one off). Kami minta kerajaan buat harga lantai getah. Kalau RM3.50 sekilogram, orang kampung bolehlah bertahan,” kata bapa kepada enam anak ini dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

Menceritakan realiti penderitaan penoreh pada masa ini, Mohd Nor memberitahu, kesan harga getah yang terlalu rendah bertambah buruk ketika musim panas berpanjangan atau sepanjang musim hujan melanda.

“Sekarang ini, susu getah kurang sebab musim kemarau. Dulu boleh dapat empat guni getah sekerap seminggu. La ini dua guni dengan seguni bolehlah dapat antara 50 hingga 70 kilo.

“Setahun kami hanya betul-betul dapat menoreh pun paling banyak lima bulan. Pernah empat bulan sahaja sebab bulan-bulan lain musim hujan. Hasil menoreh jauh berkurang,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas himpunan menuntut harga lantai getah di pekan Sik, Jumaat, 11 Mac lalu.

Berharap supaya harga getah sepatutnya lebih stabil dan berbaloi berbanding pada masa lalu tetapi hakikatnya semakin tidak padan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini yang dialami penoreh getah.

“Dulu hidup lebih mewah walau harga getah tujuh kupang (70 sen). La ni lagi hidup lagi teruk daripada dulu,” tambah Mohd Nor lagi.

Kassim AbdullahSementara itu, penoreh Kassim Abdullah, 65, berkata, beliau seperti majoriti penoreh lain terpaksa membuat pelbagai pekerjaan termasuk menternak lembu bagi menampung pendapatan.

“Nak harapkan pada hasil menoreh langsung tidak cukup. Ada kerajaan mahu bagi insentif getah tapi manfaatnya lebih kepada pemilik kebun. Ramai yang menoreh secara pawah tidak dapat sebarang faedah daripada insentif itu,” ujarnya dari Kampung Hulu, Padang Terap.

Turut menekankan pentingnya mekanisme pemberian insentif itu sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan, Ahli Jawatankuasa Amanah Parlimen Sik, Abu Bakar Jusoh, 38.

Beliau yang sebelum ini menoreh berkata, kerajaan perlu menyalurkan insentif berkenaan secara langsung kepada penoreh getah khususnya secara pawah.

“Kalau ikut apa kerajaan nak buat (insentif), pemilik kebun saja yang dapat padahal sekarang sekilo (getah sekerap) RM1.90. Itu belum dibahagi dua dengan pemilik kebun,” ujarnya lagi sambil memberitahu harga getah sekerap sekilogram di Sik pernah mencecah RM7 pada tahun 2011.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui harga komoditi itu turut bergantung pada gred sekerap yang terhasil selain kekerapan penoreh membuat tuntutan melalui siri perhimpunan dianjurkan.

“Umumnya, harga getah di Padang Terap lebih baik daripada Sik. Kelmarin naik RM2.50. Mungkin ada kesan daripada perhimpunan penoreh sebelum ini,” tambahnya lagi yang kini bekerja sendiri.

Semua terpalit

Dalam hal berkaitan, penoreh dari Padang Terap, Ismail Ahmad, 50 memberitahu cara masyarakat penoreh setempat berbelanja di pekan menggambarkan keadaan sebenar kedudukan harga getah.

“Boleh tengok di Pekan Nat di Padang Terap. Sudah tidak ramai orang kampung berbelanja sebab penoreh sudah tidak berduit. Peniaga kedai runcit di sana pun mengeluh. Kesan harga getah yang jatuh ini sebenarnya semua terpalit,” tegasnya lagi.

 

TAGS