Malaysia Dateline

Beratur panjang di JPJ, menteri digesa tambah lagi cawangan permudah urusan rakyat

Kementerian Pengangkut Malaysia (MOT) digesa supaya menambah lebih banyak pejabat cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang bagi menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, ini susulan orang ramai masih lagi terpaksa beratur panjang dan mengambil masa berjam-jam untuk melakukan pelbagai urusan di JPJ.

Menurutnya, anggaran kutipan hasil JPJ di Kuala Lumpur sahaja sudah mencecah hampir RM450 juta setahun dan hasil tersebut boleh digunakan untuk membuka lebih banyak cawangan JPJ.

Buat masa ini terdapat empat pejabat cawangan JPJ di Kuala Lumpur iaitu di Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Menjalara dan pejabat JPJ Mini UTC Kuala Lumpur di Pudu Sentral.

Manakala terdapat tujuh pejabat cawangan JPJ di negeri Selangor.

“Jumlah ini semestinya tidak mencukupi untuk memberi khidmat kepada populasi Lembah Klang yang begitu padat.

“Saya sendiri telah melawat cawangan Bandar Menjalara di Segambut dan melihat sendiri barisan menunggu yang terlalu panjang sehingga ke lorong belakang.

“Menteri pengangkutan digesa untuk menambah baik sistem sokongan bagi memastikan perkhidmatan dalam talian berjalan dengan efektif dan menyeluruh seperti memperuntukkan alatan kemudahan terkini yang boleh membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeoh menambah, ketika ini masalah yang sering mengganggu urusan JPJ adalah seperti mesin Percetakan Nasional (PKN) selalu rosak, dan “network down” akibat jumlah line internet yang dikawal oleh MAMPU selalu tidak stabil.

Ini katanya menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang berjam-jam bagi menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan akibat gangguan yang disebut.

Baca juga: JPJ larang kenderaan berat lalu Lembah Klang pada dua waktu puncak, jom semak

Baca juga: Identiti dua mayat dalam MPV dikenalpasti