Beraya di pondok usang dapat perhatian Adun PH

Adun Kulim, Yeo Keng Chuan yang turun padang menziarahi Zulkipli dan anaknya yang tinggal di pondok usang.

Walaupun sambutan Aidilfitri disambut dengan pelbagai kemeriahan dan kesempurnaan oleh jiran tetangga, namun bagi Zulkipli Zainal, dari Kampung Batu 12, Terap, Serdang, Kulim-Bandar Baharu ia hanya mampu bersyukur dengan apa yang dipunyai.

Dengan ditemani anak bongsunya, Nor Fitri yang berusia 12 tahun, kedua-dua anak beranak tersebut terpaksa beralaskan dinding yang dihasilkan dari kayu hutan yang dijadikan pondok atas tanah milik keluarga sendiri.

Bekalan air pula diperolehi dengan menggunakan pam dengan sumber elektrik ditarik daripada rumah jirannya.

Lebih malang lagi, sekiranya hujan turun dengan lebat mereka terpaksa juga berteduh di dalam pondok tanpa bilik tersebut.

Menurut Zulkipli, beliau hanya bekerja kampung bagi menyara makan dan minum setelah berpisah dengan isterinya.

“Pendapatan saya tidak tetap, kadang-kadang ada dan adakalanya tidak ada pendapatan.

“Samada mahu atau tidak maka terpaksa juga berteduh dalam pondok yang serba kekurangan.

“Sejak tiga tahun yang lalu, saya amat mengharapkan sebuah rumah dapat didirikan kerana tanah ini adalah milik keluarga, ” ujarnya.

Sementara itu Adun Kulim, Yeo Keng Chuan yang turun padang menziarahi Zulkipli dan anaknya berkata tindakan segera akan diambil bagi membantu keluarga ini.

“Beliau telah membuat aduan mengenai kesempitan hidupnya dalam pondok ini sejak tiga tahun yang lalu semasa zaman BN mewakili Dun dan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, tapi tidak ada apa-apa perubahan.

“Saya akan berusaha bersama-sama dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dengan secepat mungkin bagi membantu mereka.

“Keadaan pondok ini amat tidak selesa dan tidak sesuai untuk anaknya yang akan menduduki ujian UPSR tidak lama lagi,” jelas Yeo ketika ditemui.

Oleh kerana itu katanya, perkara ini akan dibawa ke pengetahuan exco kebajikan serta kerajaan negeri supaya masalah yang tidak dapat diselesaikan sejak tiga tahun yang lalu dapat diatasi dengan kadar segera.

Yeo yang juga merupakan Naib Ketua Cabang PKR Kulim-Bandar Baharu telah beberapa kali menziarahi keluarga tersebut bagi menyampaikan sumbangan serta meringankan beban keluarga tersebut.

CATEGORIES
TAGS