“Berbaloi hantaran mahal,” aksi Intan Najuwa masak sup ikan jenahak buat suami sakit tuai pujian

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan pelakon terkenal, Datin Intan Najuwa yang sedang memasak hidangan sup ikan jenahak di dapur telah meraih perhatian ramai.

Mana tidaknya, pelakon wanita yang berusia 26 tahun itu kelihatan begitu lincah dan langsung tidak kekok ketika sedang beraksi di dapur tanpa bantuan orang lain.

Difahamkan, hidangan tersebut dimasak Intan khas untuk ‘mengubati’ suaminya iaitu Datuk Ahmad Asraf Azman yang berada di dalam keadaan kurang sihat.

Tular di media sosial, rakaman aksi memasak Intan itu dikongsi oleh pelakon tersebut menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Watak utama dalam drama Kekasih Paksa Rela itu juga tidak lokek untuk berkongsi resipi Sup Ikan Jenahak air tangannya selepas diminta oleh para peminat.

“Sup ikan jenahak untuk suami saya yang sedang sakit. Musim demam.

“Resipi sup cara saya mudah sahaja. Sup bunjut pun saya memang langsung tak guna. Masukkam rempah kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.

“Tumis bawang merah, bawang putih, halia, serai dan juga lada hitam sampai wangi kemudian masukkan air. Tambah akar dan daun ketumbar, asam keping, garam, ikan serta tomato ” tulis Intan di ruangan komen.

Baru sahaja semalam dimuat naik, video tersebut telah berjaya meraih lebih 2.5 juta tontonan dan 200,400 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.

Seperti yang dijangka, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton video tersebut memuji kebolehan Intan dalam bidang memasak.

Malah, ramai juga yang berkongsi pendapat bahawa Intan sememangnya layak untuk mendapatkan hantaran tinggi kerana memenuhi syarat-syarat isteri terbaik.

“Ini baru berbaloi hantaran mahal! Pandai, cantik dan memasak pun hebat,” kata seorang pengguna yang kagum dengan kemahiran memasak Intan.

“Sudahlah cantik berseri dan rendah diri. Pandai memasak dan berpelajaran tinggi. Layak dapat suami bergelar Datuk. Perfect 10.” Kongsi pengguna lain.

Terdahulu, Insan dan pasangannya iaitu ahli perniagaan dikenali sebagai Asraf sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pada 18 Ogos lalu.

Majlis tersebut mencuri perhatian ramai kerana Asraf yang berusia 39 tahun itu menyerahkan mas kahwin berjumlah RM20,000 dan wang hantaran sebanyak RM222,000 kepada Intan.

Baca juga: Muncul semula lepas 13 hari hilang, Lily ditemui lemah dan tak ingat apa-apa