Berbaloikah saya masuk penjara, tanya Rafizi dalam surat terbukanya

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Ini mungkin kali terakhir anda mendapat mesej awam dari saya. Seperti yang anda tahu, saya telah dijatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun atas 2 pertuduhan:
Pertama: dituduh membocorkan rahsia negara apabila saya membongkarkan bagaimana wang pencen tentera terbabit di dalam projek 1MDB. Saya dihukum penjara setahun setengah.
Kedua: dituduh membocorkan rahsia bank peribadi keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila saya membongkarkan skandal NFC mengenai dana penternakan lembu yang digunakan untuk membeli kondominium.
Jika Dato’ Seri Najib kembali berkuasa selepas 9 Mei ini, saya dijangka akan masuk penjara pada 1 Jun nanti.
BERBALOIKAH MASUK PENJARA?
Ada yang suka dengan tindakan saya, sudah tentu yang BN itu benci dengan pendedahan-pendedahan saya, tetapi ramai yang selalu bertanya: Berbaloikah masuk penjara, sedangkan orang yang dibela seperti bekas-bekas askar dan keluarga mereka terus tegar menyokong BN?
Saya ada kelemahan sebagai manusia: mungkin kelemahan utama saya, saya bukan jenis yang berkira-kira. Soal benar atau salah bukan soal yang boleh dicampur tolak.
Saya dibesarkan oleh mak dan ayah saya, kedua-duanya tidak berpendidikan tinggi – untuk menjadi seorang yang jujur, rajin dan pintar kerana itu saja yang kami ada. Kami tidak ada wang, kami tidak ada harta, tetapi dengan tenaga dan akal yang Allah berikan, saya diasuh kita boleh hidup senang tanpa kacau sesiapa, tidak perlu meminta dari sesiapa. Cara terbaik untuk hidup bermaruah ialah dengan berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya.
Apabila saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, saya berjanji untuk mempertahankan hak rakyat. Saya berjanji untuk memberikan suara kepada rakyat yang ditindas dan suara mereka tidak didengari. Saya menjadi tempat berharap kepada sebahagian kecil rakyat kita agar suara mereka didengari.
Saya perlu jawab di akhirat nanti mengenai amanah itu. Apabila orang datang kepada saya dengan bukti yang kukuh mengenai dana rakyat yang diselewengkan, jika saya menolaknya dan mengabaikannya, maknanya saya berbohong dan cuai dalam tanggungjawab saya. Saya perlu jawab di akhirat nanti bila saya cuai dalam kerja saya.
Jadi ia bukan soal berbaloi atau tidak, ia soal tanggungjawab. Saya tidak mahu anak saya satu hari nanti tahu bahawa saya seorang yang cuai dengan amanah yang saya pikul. Saya percaya satu hari nanti anak saya lebih rela ayahnya ke penjara demi tanggungjawab, dari ayahnya senang lenang tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab.
Saya tidak pernah berkira soal sama ada yang saya bantu itu berterima kasih atau tidak; itu bukan hal saya. Hal saya adalah saya dan Allah; antara soal tanggungjawab dan amanah saya sebagai Ahli Parlimen.
PESAN MENGENAI TANGGUNGJAWAB
Ini mungkin mesej saya yang terakhir sebagai penjawat awam. Ini mungkin juga kali terakhir saya muncul sebelum dijatuhkan hukuman penjara, jika Pakatan Harapan tidak menang pada 9 Mei ini.
Setiap dari kita ada peranan dalam masyarakat. Sekecil mana pun kita, kita ada tanggungjawab. Saya selalu sebut perubahan hanya boleh berlaku dengan sedikit sumbangan kecil setiap dari kita, kerana sumbangan yang kecil itu akan menjadi bukit bila semua menyumbang.
Saya boleh tidur lena dan redha dengan apa pun nasib saya selepas ini. Tidak ada yang boleh menuding jari kepada saya bahawa saya tidak berusaha sebaik mungkin untuk membantu membawa perubahan. Saya dan keluarga saya telah buat yang terdaya mungkin.
Sejak tiga tahun lalu, saya lihat perubahan yang ketara di dalam masyarakat kita. Ada kesedaran mendadak tentang soal betul dan salah. Ada perasaan yang jelas yang menolak penyelewengan dan pecah amanah.
Saya bersyukur kerana saya tidak keseorangan dalam bab menjaga tanggungjawab ini. Saya simpati dengan Dato’ Seri Anwar yang merengkok dalam penjara pada usia 70an kerana memperjuang nasib rakyat. Saya merasa bersalah melihatkan Tun Mahathir pada usia 90an tetap turun padang untuk memperbetulkan keadaan.
Malah, saya rasa terharu melihat rakyat Malaysia yang tidak mengenal latar belakang tampil menjadi sukarelawan INVOKE dan menghulurkan sumbangan kewangan demi menjana arus perubahan. Dalam tempoh 2 tahun, saya lihat sendiri lebih 40,000 orang rakyat Malaysia yang tidak ada kepentingan politik memberikan masa dan tenaga mengajak rakyat Malaysia berubah.
Sebab itu saya boleh tidur lena kalaupun saya ke penjara.
Saya tahu semakin ramai rakyat Malaysia yang sedar akan tanggungjawab mereka untuk membantu menukar pemerintahan yang mencuri duit rakyat, yang membuli rakyat dan yang tidak peduli dengan kesusahan rakyat.
Saya tidak perlu huraikan segala kesusahan yang dibebankan kepada rakyat sedang mereka yang berkuasa hidup bersenang lenang. Anda merasainya setiap hari.
Saya cuma berdoa lebih ramai rakyat Malaysia yang menginsafi keadaan dan menyedari mereka juga ada tanggungjawab dan mereka perlu tunaikan tanggungjawab itu.
Anda mungkin tidak boleh menarik sokongan jutaan rakyat seperti Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Anda mungkin tidak perlu ke penjara seperti saya dan Dato’ Seri Anwar.
Anda tidak perlu pun mengambil cuti untuk berkempen atau menghabiskan wang ringgit.
Anda hanya perlu mengundi kerana itu sekecil-kecil tanggungjawab kita kepada anak isteri dan keluarga. Anda perlu memilih yang mana membawa lebih kebaikan, yang mana kurang mudharatnya.
Saya yakin pilihan itu sangat mudah.
Kerosakan yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib, Datin Seri Rosmah dan menteri-menterinya yang hanya mengangguk setuju, sudah diketahui ramai. Memilih BN bermakna membenarkan mereka kekal membuli rakyat, membenarkan mereka menghina Tun Mahathir, membenarkan mereka memenjarakan Dato’ Seri Anwar, saya dan sahabat-sahabat lain.
Pakatan Harapan mungkin tidak sempurna. Kami mungkin dilihat berlainan gaya pemikiran dan pandangan. Tapi kami disatukan oleh rasa tanggungjawab membela rakyat dan jika itu didepankan, lebih mudah menguruskan perbezaan fikiran dan pandangan di kalangan kami. Matlamat Pakatan Harapan adalah jelas, menangnya Pakatan Harapan bermakna semua dasar kerajaan yang menekan rakyat akan dihentikan.
Pilihan ketiga ialah PAS. Sedang saya tidak bermusuh dengan PAS, kehadiran PAS secara berseorangan menyebabkan ia tidak akan mendapat sokongan masyarakat majmuk di negara ini. Sesiapa pun tahu undi kepada PAS tidak akan memenangkan PAS, kecuali memecahkan undi pakatan yang menentang Dato’ Seri Najib. Saya memohon sahabat-sahabat PAS melihat hakikat ini supaya kita kembali memilih yang paling kurang membawa mudharat di antara Pakatan Harapan dan BN.
TERIMA KASIH
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang banyak membantu saya. Ramai yang memberikan sumbangan, ramai yang menjadi sukarelawan, ramai yang menonton ceramah saya setiap malam, yang paling penting – ramai rakyat Malaysia mendoakan saya.
Saya terhutang budi selama-lamanya dengan rakyat Malaysia. Saya berharap segala salah silap saya dimaafkan dan saya berdoa wakil-wakil rakyat selepas ini bersungguh-sungguh menjaga amanah yang diberi.
Saya doakan Allah memberkati Malaysia dan rakyatnya, kerana kita ada potensi menjadi yang terbaik di dunia ini.
Dengan ini saya mohon mengundur diri.
Terima kasih.

COMMENTS

Wordpress (0)