Berbeza parti, keluarga bukan gadaian

Taqiuddin Cheman (tiga dari kanan) bersama kesemua calon di bawah Parlimen Pontian.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dun Pulai Sebatang (N54), Taqiuddin Cheman berkata, perbezaan parti politik antara beliau dengan ayahnya, Cheman Yusoh tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan.

Taqiuddin, 30, memberitahu keluarganya tetap harmoni walaupun ayah Ketua Pemuda AMANAH Johor berkenaan menjadi calon bagi Dun Sungai Balang (N16) mewakili Pas.

“Cukup-cukuplah kita pecah-belahkan masyarakat kerana politik. Jangan pula keluarga dijadikan gadaian hanya kerana ego politik kita.

“Jangan pula melaga-lagakan sehingga seronok melihat ada keluarga yang berpecah belah lantaran nafsu politik. Saya bersyukur kepada Allah kerana keluarga saya tetap rukun dan harmoni walau kami berbeza parti,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Nasional itu, ayah beliau memahami keputusannya meninggalkan Pas untuk menyertai AMANAH malah adik lelaki Taqiuddin turut berbuat demikian.

“Mak juga merestui keputusan saya. Selalu juga beliau bertanya khabar dan singgah di page (Facebook) saya untuk memberikan komen-komen positif dan kata-kata semangat,” ujarnya.

Mengulas reaksi ayahnya di sebuah akhbar yang menerima keputusan beliau menyertai AMANAH walaupun sudah didedah dengan Pas seawal usia dua tahun, Taqiuddin berkata, peristiwa tersebut seolah-olah baharu sahaja berlaku semalam.

“Ya, masih saya ingat saat abah membawa saya ke segenap tempat untuk mendengar ceramah Pas. Penglibatan abah secara aktif di dalam Pas juga akhirnya membawa saya terlibat sama di dalam dunia aktivisme politik terutamanya Pas.

Cheman Yusoh (tiga dari kanan) bersama kesemua calon di bawah Parlimen Muar pada penamaan calon semalam.

“Saat susah getir membangunkan Pas juga masih segar dalam ingatan. Yalah, bukan mudah untuk orang menerima Pas waktu itu.

“Sehinggalah usia saya menjengah remaja, saya terus aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan politik,” jelas anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Sehinggakan, ujarnya, sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berjaya didirikan bersama rakan-rakan dan dinamakan sempena anak lelaki sulungnya, Izzuddin al-Qassam ketika aktif bersama Pas Johor Bahru.

Taqiuddin Cheman

“Walaupun saya berlatar belakangkan sekolah tahfiz, namun, saya selesa dilihat sebagai aktivis politik sahaja.

“Saya seronok kerana bukan sahaja saya boleh berkawan dengan masyarakat berbeza latar, saya juga boleh mendekati golongan yang berbeza latar ini,” katanya.

Mengakui tersentuh membaca kenyataan ayahnya, Taqiuddin berkata, tindakannya meninggalkan Pas dan menyertai AMANAH selepas sebulan mempertimbangkannya adalah keputusan yang paling sukar dilakukan.

“Sehinggalah pada 2015, saat perpecahan di dalam Pas mula ketara,label-melabel mula membarah sehingga saya juga turut terpalit sama. Akhirnya, saya tiba di satu persimpangan di mana saya perlu membuat keputusan.

“Yalah dari kecil saya berjuang bersama Pas, terlalu banyak memori dan pengalaman yang saya ukir.

“Namun, saya yakin ia adalah sebahagian dari ijtihad politik. Saya memilih untuk menuju ke destinasi menggunakan kenderaan yang lain,” ujarnya.

Walau apa sekali pun tanggapan orang lain, beliau memberitahu kedua-dua ibu bapanya tidak pernah menganggapnya sebagai anak derhaka hanya kerana menyertai AMANAH.

“Saya tetap menjalankan tanggungjawab selaku anak sulung keluarga.

“Di rumah, kami jarang berbual hal yang boleh menyebabkan kami berselisih pendapat. Kalau ada pun, saya sebagai anak perlu mengalah,” tambahnya lagi.

Taqiuddin antara 22 calon Pemuda AMANAH pada PRU-14 ini yang akan bertanding di N54 Pulai Sebatang menggunakan logo PKR selaras dengan keputusan PH pada 6 April lalu.

Beliau akan menentang penyandang, Datuk Tee Siew Kiong dari BN dan calon Pas, Baharom Mohamad.

Sementara itu, Cheman, 63, yang merupakan bekas guru besar sekolah akan berentap dengan penyandang kerusi Dun Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Na’im Jusri dari PKR.

8.0
OVERALL SCORE
: 9.0
4 user votes x 7.8