Berbincang, beri pandangan bukan bermaksud campur tangan

Berbincang, beri pandangan bukan bermaksud campur tangan

Tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan campur tangan kerajaan negeri dalam isu perlantikan mufti dan fatwa, exco hal ehwal agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim mahu maksud yang tepat tentang ‘campur tangan’ difahami khususnya dalam konteks anggota pentadbiran negeri.

“Saya selaku Exco Agama, yang merupakan salah seorang anggota pentadbiran negeri Pulau Pinang… akan membincangkan segala-galanya (melalui Mesyuarat Exco setiap minggu) berhubung hal ehwal pentadbiran negeri. Apakah ini boleh dilihat sebagai campur tangan?

“Bagaimana pula anggota pentadbiran di Kabinet? Begitu juga Peguam Negara yang hadir ke Kabinet membincangkan pelbagai isu berkaitan undang-undang atau hal ehwal mahkamah, adakah ini dikatakan campur tangan?” soal beliau.

Abdul Malik menjawab dakwaan Pas negeri dan seorang ahli majlis fatwa negeri berhubung ‘campur tangan’ kerajaan negeri dalam soal perlantikan mufti dan fatwa negeri dalam sidang media di pejabatnya, semalam.   

Perkara yang sama juga, ujarnya berlaku di peringkat persekutuan apabila menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab dalam hal ehwal agama Islam membincangkan perkara-perkara berkaitan Islam dalam mesyuarat kabinet.

Menyentuh tentang isu pelantikan mufti, beliau menjelaskan ia dibuat melalui syor beliau sebelum dibawa untuk makluman Exco dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Bukan sahaja lantikan mufti, malah Yang di-Pertua Majlis Agama (Islam Negeri Pulau Pinang) dan ahli-ahli majlis agama melalui proses yang sama.

“(Dan) anggota Exco lain akan mengambil maklum (berhubung isu lantikan),” katanya.

Malah sebagai pemegang portfolio agama Islam, beliau turut membincang dan menjelaskan hal-hal berkaitan jabatan mufti, Mahkamah Syariah dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dalam mesyuarat Exco dan proses ini tidak boleh dianggap sebagai satu campur tangan.

Berhubung urusan fatwa yang turut menjadi polemik, beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang memulakan dialog dengan kerajaan negeri mengenai fatwa termasuk kalimah Allah pada 2010.

Dalam dialog tersebut, beliau menyuarakan kebimbangan kerajaan negeri dan tindakannya itu tidak boleh disifatkan sebagai campur tangan.

Menurutnya, walaupun selepas pandangan kerajaan negeri disuarakan, jawatankuasa fatwa tetap meluluskan fatwa melarang pengunaan kalimah Allah dan 40 istilah Islam oleh orang bukan Islam dan kerajaan negeri menghormati keputusan itu.

“Saya tidak pernah mengarahkan jawatankuasa fatwa menukar keputusan fatwa-fatwa mereka.

“Saya cuma meminta perbincangan diadakan, bersama kehadiran pegawai kerajaan negeri dengan harapan mereka menimbangkan kebimbangan kami.

“Begitulah amalan jawatankuasa fatwa, yang selalu mengundang pihak yang membantah mana-mana fatwa untuk bermuzakarah,” kata Abdul Malik.

Menurut beliau, mengadakan perbincangan baharu atau meminta fatwa dikaji semula juga tidak bermakna kerajaan negeri mencampuri urusan penfatwaan.

Baru-baru ini, Pas mendakwa kerajaan Pulau Pinang mencampuri urusan jawatankuasa fatwa dan mendakwa beberapa fatwa ditangguhkan akibat campur tangan itu.

Pas juga mendakwa semua fatwa perlu melalui mesyuarat Exco.

Ahli jawatankuasa Majlis Fatwa negeri, Md Saleh Ahmad menyokong dakwaan itu dan berkata kerajaan negeri pernah meminta fatwa berkenaan kalimah Allah dikaji semula.

COMMENTS

Wordpress (0)