Malaysia Dateline

Berbulan madu di Langkawi: Polis akan panggil Neelofa, PU Riz

Polis akan memanggil selebriti kontroversi, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pasangan pengantin baharu itu berbulan madu di Langkawi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mengikut bukti video dan gambar yang dimuat naik di media sosial pasangan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Kita sedang tangani kes ini selepas ada gambar aktiviti dan kehadiran beliau (Neelofa) bersama suami (di Langkawi) telah melanggar SOP yang ditetapkan.

“Kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seksyen K9 Langkawi Polis Diraja Malaysia di Langkawi hari ini.

Pada 29 Mac lalu, tular beberapa gambar Neelofa dan suaminya merentas negeri untuk berbulan madu di Pulau Langkawi.

Menerusi gambar tersebar, pasangan tersebut dilihat berada di lapangan terbang serta dalam penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan itu.

Rata-rata warganet berang dan mempersoalkan bagaimana mereka dibenarkan merentas negeri sebagaimana yang didakwa.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Sdn Bhd, Aliza Ali memberitahu Neelofa dan PU Riz sedang melakukan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu syarikat itu.

Jelasnya dalam kenyataan pada 30 Mac lalu, lawatan yang memperolehi kebenaran merentas negeri ke Langkawi diperoleh dari balai polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan itu turut membabitkan beberapa kakitangan dan bahagian operasi serta pengurusan Chatime Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pegawai penyiasat akan mengenal pasti adakah aktiviti yang gambarnya dimuat naik itu sebahagian kegiatannya perniagaannya.

“Mereka kena jawab, tapi gambar itu macam aktiviti santai-santai sahaja. Jelas ia tidak boleh dilakukan dan melanggar SOP.

“Sebabnya dia datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, polis juga akan memanggil saksi yang boleh membantu melengkapkan siasatan kes itu sesegera mungkin.

Untuk rekod, bekas pengacara MeleTOP itu menerusi InstaStorynya berkongsi detik-detik bahagia bersiar-siar di pulau peranginan tersebut bersama suaminya.

Sejak 1 April lalu, jutawan tersebut memuat naik beberapa video memaparkan dia dan Haris bersiar-siar sambil menaiki kereta kabel.

Dalam perkongsian tersebut, mereka kelihatan cukup mesra dan berpegangan tangan sepanjang menghabiskan masa di atas puncak lokasi kereta kabel itu.

Keesokannya pula, Neelofa dan Haris dilihat seronok menaiki ‘jetski’ dengan mengelilingi dan menikmati keindahan pulau di sana.

Sebelum mereka keluar melakukan aktiviti tersebut, Neelofa sempat mempromosikan minuman botani keluaran jenama produknya, Nilofa.