Malaysia Dateline

Bercakaran dalam politik, kes terus melonjak bukti kerajaan gagal

Kelemahan kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 sehingga ia terus melonjak ke angka menghampiri 8,000 kes sehari antara penilaian utama yang membuktikan kerajaan hari ini adalah kerajaan gagal.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, kerajaan tidak seharusnya menyalahkan rakyat sekiranya angka terus melonjak kerana hakikatnya tugas kerajaan adalah memastikan lekuk penularan terus mendatar.

“Tugas kerajaan ialah untuk mengawal Covid-19. Bagaimana kerajaan menguruskan itu terpulang kepada mereka. Tapi paling penting, rakyat mahu Covid-19 itu dapat diratakan garisannya.

“Kalau kita lihat kes (27 Mei) sebanyak 7,857, ini adalah satu petanda aras bahawa kita sedang duduk dalam situasi yang gagal. Ini adalah teras dalam penilaian kita

“Jangan kita kata ini berlaku di seluruh dunia kerana ada kerajaan di negara lain berjaya menangani Covid-19,” katanya dalam satu siaran langsung yang membincangkan tentang ‘Kerajaan Gagal Rakyat Merana’ di Facebook Pemuda Amanah Terengganu malam tadi

Adly yang juga Bendahari AMANAH Nasional menegaskan, kerajaan mesti menangani perkara ini dan menggunakan semua tenaga, dana dan sumber manusia yang ada pada kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19.

Apa yang penting katanya, bagaimana kerajaan mahu memastikan rakyat menghormati sistem yang dilaksanakan kelak.

Mengulas lanjut Adun Bukit Katil itu berkata, penilaian kerajaan gagal juga dapat dibuktikan melalui ketidakstabilan parti-parti politik di dalam gabungan itu.

Menurutnya, ada parti yang sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan namun bertindak seolah-olah seperti pembangkang.

“Kita ambil contoh Umno sendiri. Kita boleh lihat Umno itu separuh pembangkang separuh kerajaan. Jadi kestabilan apa yang mereka bina sedangkan mereka sebut tentang perpaduan ummah, kerajaan Melayu Islam, kesepakatan apa yang mereka bina.

“Kita lihat mereka sedang bercakaran. Jadi kita lihat dalam kerajaan itu sendiri pun sudah tidak ada kestabilan politik dan politiknya secara teras sudah gagal,” katanya.