Siapa sangka, seorang lelaki sanggup membelanjakan wang melebihi RM57,000 hanya untuk menggapai cita-citanya menjadi haiwan dengan membeli kostum anjing realistik.
Difahamkan, lelaki terbabit sememangnya tidak pernah menunjukkan minat seperti orang lain untuk bekerjaya di dalam bidang profesional seperti doktor mahupun peguam.
Sebaliknya dalam satu pendedahan yang mengejutkan, lelaki itu mengakui telah menyimpan keinginan untuk menjadi haiwan khususnya, seekor anjing sejak dirinya masih kanak-kanak.
Lelaki itu bagaimanapun berhadapan dengan detik sukar untuk menjelaskan punca dirinya memilih untuk menjadi haiwan namun lebih selesa bercerita mengenai binatang pilihannya.
Menerusi satu perkongsian di laman Youtube, lelaki yang dikenali sebagai Toco itu memaklumkan bahawa anjing adalah haiwan pilihan paling sesuai dengan cita rasa dan kehendaknya.
Hal ini berikutan dirinya memang mempunyai minat yang begitu besar terhadap anjing selain berpendapat bahawa saiz dan ciri fizikal haiwan berkenaan juga tidaklah terlalu jauh berbeza dengan manusia.
Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Toco di dalam mengambil keputusan untuk membeli kostum realistik berkualiti tinggi demi merealisasikan impiannya menjadi seekor anjing.
“Keinginan ini (menjadi binatang) sudah lama, bahkan sejak saya masih kecil. Sukar untuk menjawab apa yang mendorong saya ingin menjadi haiwan. (Saya memilih anjing) kerana ia adalah haiwan kegemaran saya.
“Selain saiznya, saya sangat sukakan haiwan comel yang berkaki empat. Saya memilih anjing baka Collie, saiznya juga mengikut badan saya,” kata Toco menerusi satu rakaman yang dimuat naik di akaun Youtube miliknya.
Sekadar info, Toco adalah seorang lelaki asal Jepun yang memiliki saluran Youtube dan berjaya meraih populariti dengan berkongsi rakaman aktiviti sehariannya sebagai ‘seekor anjing’.
Difahamkan, Toco telah membelanjakan wang sebanyak 2,000,000 yen atau kira-kira RM 57,713.44 untuk memiliki ‘sut realistik’ anjing baka Collie yang digayakannya dalam rakaman tersebut.
Syarikat pengeluar kostum iaitu Zeppet memaklumkan bahawa pihaknya mengambil masa selama 40 hari untuk menyiapkan model sut anjing tersebut selepas mendapat permintaan dari Toco.
Baca juga: “Aku kerap minta cerai, bila suami tunaikan barulah aku rasa menyesal…”