Berdakwah ikut budaya Sarawak, kata Abang Kerdee

Berdakwah ikut  budaya Sarawak, kata Abang Kerdee

Golongan pendakwah Islam diseru supaya mengikut budaya Sarawak yang memiliki sebanyak 32 etnik dalam menyampaikan ilmu sekali gus mengembangkan ajaran Islam di negeri ini.

Setiausaha Politik di Jabatan Perdana Menteri (Agama),Abang Kerdee Abang Masagus berkata, sebagai seorang pendakwah, mereka seharusnya mengetahui budaya dan adab sesuatu kaum itu terlebih dahulu sebelum menyampaikan ilmu agama kepada yang berkenaan.

“Sebenarnya, konsep dakwah di Sarawak tidak sama di semenanjung sana. Di sini kita mesti ambil tahu berkaitan dengan budaya kaum-kaum yang terdapat di negeri ini, “jelasnya yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Forum Dakwah anjuran Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMK) di sebuah hotel terkemuka di Kuching hari ini.

Seramai 50 peserta terdiri daripada muaalaf etnik Iban dan Bidayuh dari sekitar Kuching hadir pada forum tersebut yang bertajuk ‘Cabaran Dakwah Merentasi Etnik Dan Budaya’.

Abang Kerdee berkata, dalam ajaran Islam penganutnya tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikutnya, tetapi biarlah seseorang itu terbuka hatinya dalam menerima ilmu dan ajaran dengan seikhlas hati.

Dengan demikian jelas beliau,para pendakwah seharusnya menunjukkan dirinya adalah pengamal agama yang terbaik sekali gus mampu menarik orang lain menerima ajaran Islam dengan penuh keikhlasan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan geran daripada Yayasan Taqwa sebanyak RM50 ribu kepada PDMK bagi menjalankan program dan aktiviti.

Turut hadir ialah Presiden PDMK Haji Norhaza Ahmad Redzuan Abdullah dan Pengerusi Parti AMANAH Sarawak,Mohamad Fidzuan Zaidi.