Berdiam diri saja rumah dimasuki perompak?

Berdiam diri saja rumah dimasuki perompak?

Seluruh dunia bercakap tentang urusniaga ‘ajaib’ 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terpalit dengan isu jenayah penggubahan wang haram, tentulah tidak wajar kita hanya berdiam diri, tegas jurucakap Gabungan #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof.

Itu respon spontan penuntut Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya (UM) ini ketika ditanya dorongan utama untuk beliau mengetuai gerakan mahasiswa turun ke jalan raya pada 27 Ogos ini.

“Berita lesapnya berbilion ringgit 1MDB sudah sampai ke peringkat antarabangsa. Kita tidak mahu satu dunia melihat rakyat Malaysia seperti tidak ada apa-apa berlaku. Analogi saya mudah. Perompak masuk rumah, kita masih berdiam diri?

“Selain Amerika Syarikat (AS), skandal 1MDB juga disiasat sekurang-kurangnya empat negara lain termasuk Switzerland dan Luxembourg. Nah, rakyat Malaysia tetap terus berpeluk tubuh?,” soalnya lagi ketika ditemui AMANAH di perkarangan Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, 17 Ogos lalu.

Pengagum pemikiran ulamak nusantara, Hamka juga pengamat khazanah puisi Sasterawan Negara, Usman Awang ini berpendapat kesedaran untuk rakyat bangkit bersuara menyatakan rasa protes terhadap kepincangan urus tadbir ini masih belum cukup ampuh.

“Kita lihat dari sudut kesedaran rakyat sekalipun masih belum cukup kuat. Tiada aksi anak muda yang signifikan. Barangkali ramai daripada mereka letih dengan pergolakan politik semasa.

“Namun, apa yang penting saya terpanggil untuk tampil ke depan bersama-sama rakan mahasiswa lain kerana kami melihat adanya keperluan mendesak untuk membuka mata rakyat tentang apa sebenarnya berlaku dalam skandal 1MDB ini,” bicaranya lancar ditemani rakan-rakan mahasiswa lain termasuk dari Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Cuaca semakin terik menjelang tengah hari itu dilihat mengiringi semangat anak sulung daripada lima adik-beradik ini walaupun terdetik rasa debar dalam teruja untuk menghadiri pertemuan tertutup dengan pihak polis di Balai Polis Dang Wangi itu.

“Saya pun bukan berani sangat tetapi tekad mengambil keputusan untuk memaknakan ilmu dipelajari di dewan kuliah atas kesedaran sosial mahu melihat negara dan generasi masa depan tentunya lebih baik,” tegasnya.

Jasa PMIUM

Anis Syafiqah Md Yusof dan rakan rakan di balai polis Dang Wangi.

Mengakui penyertaannya sebagai orang barisan hadapan kempen #TangkapMO1 ini pengalaman pertama baginya dalam dunia aktivisme pelajar, Anis memberitahu Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) banyak berjasa mengasah kesedarannya mengenai isu semasa melangkaui pagar kampus sebaik menjejakkan kaki di UM pada 2013 lalu.

“Risikonya, buat pertama kalinya, saya dipanggil pihak universiti di peringkat fakulti pada 1 Ogos lalu selepas tampil membuat kenyataan media tapi bagi saya ini cabaran. Apa yang dilakukan bukanlah satu perlakuan jenayah pun,” katanya.

Pada masa sama, perhatian gadis yang dibesarkan di Kampung Sungai Burung, Sungai Besar ini kepada pelajaran tetap dikendong ketika teruja mengejar pengalaman di jalan raya.

“Dahulu, saya mengikuti program diploma selama tiga tahun di Darul Quran. Selanjutnya, bermula sesi 2013/2014 lalu saya melanjutkan pengajian di UM iaitu di Jabatan Bahasa Arab selama tiga tahun setengah. Insya-Allah.

“Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pendidikan Tinggi), Isnin lepas minta pelajar universiti awam tumpu pada pelajaran jangan terlibat dalam demonstrasi jalanan. Walhal, saya dan ramai rakan mahasiswa lain tidak merasakan buku dan aktivisme itu pertembungan.

“Kedua-duanya sama penting dan menyokong satu sama lain. Ramai saja yang kononnya fokus belajar tetapi tidak cemerlang dalam akademik ditambah tidak tahu apa-apa sebaik kembali ke pangkuan masyarakat sebaik bergraduan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, mengimbas tradisi gerakan kampus yang umumnya didominasi pelajar lelaki, Anis menyifatkan seruan kepada amal makruf nahi mungkar bukan hanya tanggungjawab kaum Adam sahaja.

“Bagi saya tugas itu adalah tanggungjawab yang ada pada semu sama ada lelaki mahupun perempuan. Masing-masing ada peranannya. Kalau semua orang diam, siapa lagi yang mahu bangkit?

“Isunya bukan tentang soal gender tetapi siapa yang mahu bangkit ketika ramai orang mengambil sikap tunggu dan lihat tetapi tidak berbuat apa-apa.

“Tiada masalah saya kira kalau perempuan mengetuai gerakan menuntut pemimpin yang menyeleweng dan rasuah dihadapkan segera ke muka pengadilan,” ujar Anis yang bersyukur pendirian beliau mendapat sokongan kedua-dua ibubapanya