Dingin Kuala Lumpur jam 4 pagi tadi dilihat tidak menggugat sekumpulan anak muda untuk terus bertahan di Jalan Parlimen.
Tinjauan Malaysia Dateline mendapati lebih 10 anggota sayap Pemuda Pakatan Harapan termasuk aktivis mahasiswa ‘berembun’ di lokasi yang sinonim dengan amalan demokrasi berperlembagaan di negara ini.
Mereka tidak berganjak dalam usaha memberi mesej kepada kerajaan membantah kenaikan harga petrol dan diesel biarpun didatangi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang tengah malam tadi.
Arahan penguatkuasa terbabit supaya khemah diturunkan dipatuhi tetapi tidak menghalang untuk mereka meneruskan protes di kawasan yang dikawal ketat pihak Bukit Aman itu.
Sebaliknya, binaan khemah yang diturunkan menjadi pengalas aktivis berbaring dan melelapkan mata seketika untuk mengumpul sedikit tenaga bagi aksi pagi ini.
Antaranya, Setiausaha Dapsy Selangor Mohammad Firdaus Babh dan aktivis mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali Sethi Alivi serta beberapa anggota Biro Keselamatan dan Kebajikan (ARiF) AMANAH.
Terdapat juga aktivis NGO yang memetik gitar sambil menyanyikan lagu ‘Buruh Tani’ bersama Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Razab.
Pada masa sama, dari papan tanda Jalan Parlimen, dapat dilihat anggota polis turut berkampung menuju ke perkarangan bangunan yang menjadi tempat perbahasan Ahli Parlimen itu.
Selanjutnya, menyahut kewajipan sebagai hamba-Nya, Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar mengimamkan sembahyang Subuh pada ketika kenderaan warga kota mulai menjalar di jalan raya.









