Malaysia Dateline

Bergabung dengan Tun M, Ku Li mahu kerajaan yang sah

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan setiap ahli politik berhak menyokong sesiapa pun yang mereka mahu.

Ku Li berkata demikian menjawab persoalan sekiranya beliau bersedia untuk dikenakan tindakan disiplin dari Umno kerana pendiriannya bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dari blok pembangkang.

Pada masa sama, Ku Li juga ditanya sama ada beliau ketika ini sedang mengumumkan kerjasamanya dengan pihak pembangkang sekaligus menentang Perikatan Nasional (PN) di mana partinya adalah penyokong gabungan berkenaan.

“Saya di sini berkongsi pentas dengan Tun (Dr Mahathir Mohamad) sebab saya nak pastikan kita ada kerajaan yang sah.

“Kerajaan sekarang bukan kerajaan yang sah. Perdana Menteri hari ini juga bukan PM yang sah,” katanya dalam sidang media bersama Mahathir hari ini yang mengumumkan pembentukan gabungan bersama.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu juga berkata beliau akan memihak kepada Tun (“I seated next to Tun”).

“Oleh kerana itu kita berharap kita boleh baiki keadaan ini. Ini bukan cakap kosong, kita akan usaha bantu rakyat,” katanya.

Gabungan kedua tokoh berkenaan dikatakan atas dasar untuk menyelamatkan negara dengan pengalaman mereka berpuluh tahun dalam bidang politik dan pentadbiran.

Mahathir dalam sidang medianya tadi berkata, ahli-ahli politik di Malaysia nampak tidak berminat untuk memajukan Malaysia sebaliknya hanya membuang masa bermain politik.