Malaysia Dateline

Bergelek di majlis akikah, Ifa Raziah mohon maaf janji tidak kongsi hantaran undang kecaman

Penyanyi dangdut Ifa Raziah yang menimbulkan kontroversi kerana bergelek di majlis akikah tampil memohon maaf setelah dikecam ramai pihak termasuk ustaz Pas berjanji tidak akan berkongsi status atau hantaran yang boleh mengundang kecaman.

Beliau secara terbuka memohon maaf dengan rela hati ketika konsert pengenalan program realiti, Terpaling Juara yang disiarkan di TV3 malam tadi.

Malah, ketika membuat permohonan maaf, penyanyi Ser Ser Ser itu turut memaafkan semua pihak yang mengecamnya berhubung kontroversi itu.

“Dengan ikhlas daripada hati, saya dengan rendah diri mohon maaf. Kita manusia tak sempurna.

“Tak rugi saya minta maaf kerana ia perbuatan yang mulia. Kalau saling bermaafan, rezeki lebih bertambah.

“Kepada mereka yang terguris dengan kenyataan saya, tak suka tengok keterlanjuran video, saya mohon maaf,” katanya dipetik BH Online.

Ifa berharap kontroversi ini tidak berpanjangan dan meletakkan titik noktah kerana ramai yang tidak suka.

“Saya tidak akan muat naik apa-apa hantaran yang boleh mengundang kecaman,” ujarnya.

Menyifatkan kontroversi terjadi sebagai lumrah anak seni, Ifa berharap tindakannya dapat menamatkan segala kontroversi yang tercetus.

“Ini asam garam anak seni. Lebih baik saya ‘move on’ daripada isu ini. Tak payah nak simpan dalam hati, saya pun mahu melangkah ke hadapan.

“Apa yang penting, saya bersyukur persembahan saya ketika menyampaikan lagu Sangkar Cinta nyanyian asal Ziana Zain pada minggu pertama berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, kontroversi tercetus selepas video Ifa bergelek pada majlis aqiqah tular dalam media sosia hingga mendapat teguran beberapa pendakwah seperti Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Ustazah Asma Harun.

Susulan tular Ifa Raziah bergelek sakan, Ahmad Dusuki tampil menegur kerana berbanggang dengan hasil gelek sebagai punca pendapatannya.

“Kau ingat gelek di khalayak tu dapat pahala ke? Bangganya kau!!” katanya.

Baca juga: 3 langkah ikhtiar yang perlu dibuat elak duit dari akaun CIMB hilang

Baca juga: Selamatkan anak daripada jadi mangsa rogol, wanita potong kemaluan teman lelaki