Malaysia Dateline

Berhati-hati ketika memandu, usah berair mata di Hari Raya

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir menasihati rakyat Malaysia agar berhati-hati memandu sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Beliau berharap pengguna jalan raya akan pulang ke kampung masing-masing dan kembali ke kota dalam keadaan selamat.

“Kementerian (Kerja Raya) amat prihatin sekali dengan keselamatan pengguna di jalan raya Persekutuan dan negeri.

“Sebab itu kami sentiasa memperbaiki keadaan jalan raya dengan sentiasa menaik taraf ciri keselamatan dan tambah baik banyak perkara seperti tanda isyarat di lokasi-lokasi yang dikenal pasti kerap dan mudah berlaku kemalangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline selepas majlis berbuka puasa anjuran Sekretariat Nasional AMANAH di Pusat Membeli Belah Pavilion, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Terdahulu, beliau turut bersama kakitangan Wisma AMANAH mengedarkan sebanyak 500 pek kurma dan akhbar Wilayahku kepada warga kota dan pengunjung gedung beli-belah itu.

Menurut Setiausaha Agung AMANAH itu, kerajaan telah melancarkan kempen keselamatan di jalan dan lebuh raya dengan kerjasama antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan agensi-agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.

“Mereka berkerjasama membantu mempermudahkan perjalanan bermula dari plaza tol dalam usaha melancarkan trafik.

“Di samping itu, saya juga baru sahaja melancarkan inisiatif Coffee Break di stesen minyak Petronas di Bentong.

“Terdapat 11 lokasi untuk pemandu di Jalan Persekutuan berhenti rehat sambil minum secawan kopi secara percuma dan mendapat sedikit cenderahati. Usaha ini diharap dapat mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya pada musim perayaan.

“Sebabnya, statistik tahun lepas menunjukkan pengurangan kemalangan maut hanya sebanyak 4 kes atau 1.7 peratus berbanding 257 kes pada musim Hari Raya Aidilfitri pada 2017.

“Usaha untuk mengurangkan bilangan ini perlu dipertingkatkan pada tahun ini dengan lebih menyeluruh,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan kempen yang dilaksanakan tahun ini akan memberikan ruang kepada para pengguna jalan raya untuk berubah sikap.

“Janganlah lagi kita berair mata di Hari Raya ini. Kita hendak bergembira bertemu dengan ibu bapa, ahli keluarga dan sanak-saudara, sahabat handai tetapi berakhir dengan tragedi.

“Saya berharap pengguna jalan raya jagalah keselamatan diri dan pemandu lain. Jangan mengambil mudah aspek keselamatan di jalan raya.

“Jangan memandu ikut nafsu, harus ada keprihatinan,” tambah Anuar lagi yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Untuk rekod, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi Jalan Persekutuan mulai 29 Mei lalu hingga 12 Jun ini.

Sehubungan itu, had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan kepada 80 kilometer sejam.

Bagi Jalan Negeri, KKR meminta kerjasama pihak berkuasa negeri untuk turut menurunkan had laju daripada 80 kilometer sejam kepada 70 kilometer sejam.

Dalam pada itu, LLM pula telah mengeluarkan arahan henti kerja bagi aktiviti penyelenggaraan di laluan utama lebuh raya selama 15 hari bermula 29 Mei lalu hingga 13 Jun ini kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.

Sementara itu, JPJ juga menguatkuasakan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya selama lima hari bermula 1 hingga 3 Jun serta 8 dan 9 Jun sempena sambutan Aidilfitri.