Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa berkongsi garis panduan menamakan anak agar ibu bapa berhenti mendaftar nama ‘pelik-pelik’ buat cahaya mata mereka.
Menurut JPN, nama yang tidak memberikan makna baik dalam Bahasa Melayu tidak boleh digunakan ketika mendaftarkan kelahiran atau membuat pindaan nama anak.
Antara contoh-contoh nama tidak memberikan makna baik mahupun diinginkan yang dimaksudkan oleh JPN ini adalah bodoh, busuk, harimau, skibidi ataupun evil (jahat).
Ibu bapa juga dinasihatkan untuk tidak meletakkan nama gelaran sebagai contohnya Dato’, Tan Sri, Puan Sri ataupun Haji di dalam sijil kelahiran cahaya mata mereka.
Ejaan yang mengelirukan atau terlalu ‘fancy’ sehingga sukar untuk disebut dan dieja turut tersenarai di dalam garis panduan nama anak yang tidak dibenarkan oleh JPN.
Antara contoh yang diberi oleh pihak JPN berhubung ejaan nama yang terlalu ‘fancy’ atau mengelirukan untuk pendaftaran kelahiran anak adalah chuynx, ytjt dan usyux.
Selain itu, ibu bapa ataupun penjaga juga diingatkan bahawa had maksimum untuk menamakan nama anak di dalam sijil kelahiran mereka adalah 80 aksara sahaja.
Garis panduan pemberian anak dan pindaan nama pada sijil kelahiran ini dikongsikan oleh JPN menerusi satu hantaran di platform media sosial Facebook, baru-baru ini.
“Apa nama paling pelik dan unik anda pernah dengar. Beri nama anak ‘mipan zuzu’, ‘Nur Sayunx’, ‘MybabyGirl’, ‘Siti Nurtizen’, ‘Sailormoon’ atau ‘Ultraman’, boleh ke?
“Jangan pelik-pelik ibu ayah, ini garis panduan pemberian nama anak yang telah ditetapkan oleh JPN,” kata agensi kerajaan tersebut di dalam hantaran berkenaan.
Berjaya mencuri perhatian orang ramai, rata-rata pengguna merasa terhibur dengan contoh-contoh nama yang diberikan oleh pihak JPN di dalam hantaran tersebut.
Beberapa individu turut memberikan peringatan kepada ibu bapa untuk menamakan anak dengan makna yang baik berikutan ia merupakan salah satu tuntutan agama.
“Terima kasih kerana berkongsi maklumat yang ramai daripada kita tak tahu,” tulis pentadbir akaun Facebook rasmi Perpustakaan Negara Malaysia dalam ruangan komen.
“Kalau JPN beri amaran macam ini, maknanya sudah ada yang cuba buat. Bukankah sunnah untuk meletakkan nama yang baik-baik untuk anak. Jangan terikut budaya barat,” kata seorang pengguna.
Baca juga: Tak pernah dibuat orang, peniaga cipta kelainan guna daun pisang balut burger