Berhenti guna Akta Penerbitan dan Mesin Cetak ke atas media

Berhenti guna Akta Penerbitan dan Mesin Cetak ke atas media

Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa kerajaan memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) 1984 yang dianggap sudah lapuk dan boleh disalahguna.

Perikatan longgar kumpulan wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media ini berkata, sudah tiba masanya semua pihak berkepentingan untuk beralih daripada menggesa kerajaan mengambil tindakan di bawah undang-undang lapuk.

Sebaliknya harus bergerak ke arah pembentukan industri media yang dikawal selia sendiri tanpa campur tangan kerajaan.

“Geramm sekali lagi menegaskan pendirian kami bahawa PPPA haruslah dimansuhkan dan ancaman tindakan penggantungan permit tidak lagi seharusnya digunakan ke atas mana-mana media,” katanya dalam satu kenyataan.

“Dengan itu, Geramm turut menggesa semua pihak untuk kekal bertenang dan mengelak daripada membuat kesimpulan secara terburu-buru dalam apa-apa isu, termasuk dalam menghadapi ancaman keganasan,” kata kumpulan ini dalam satu kenyataan.

Ia mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk parti politik supaya tindakan diambil terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Star kerana menyiarkan gambar umat Islam bersolat terawih di bawah tajuk berita berkaitan pengganas.

Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Star dan memberi tempoh tujuh hari untuk menjawab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 termasuk digantung permit penerbitan.

Mengulas lanjut, Geramm menegaskan penggantungan mana-mana agensi media, walaupun hanya untuk sehari, akan memberi kesan terhadap seluruh operasi dan memangsakan semua pekerja agensi terbabit.

Gerakan itu mengambil maklum pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang digambarkan sebagai cubaan oleh akhbar milik MCA itu untuk mengaitkan umat Islam dengan tindakan keganasan melalui penggunaan tajuk yang tidak berkaitan dengan gambar utama.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil maklum gesaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli politik agar pihak Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan The Star.

“Kononnya atas alasan penggunaan gambar jemaah solat terawih bersama tajuk “Malaysian Terrorist Leader” boleh menyampaikan mesej yang menyinggung sensitiviti umat Islam di Malaysia.

“Namun, Geramm tegas dengan pendirian bahawa Akta Penerbitan dan Mesin Cetak adalah akta lapuk yang boleh dan telah disalah gunakan untuk membungkam media,” katanya.

Kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meminda akta terbabit pada 2012, termasuk memansuhkan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan, menggantung atau menarik balik permit penerbitan.

Pada zaman pemerintahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan, menggantung atau menarik balik permit penerbitan akhbar. Malah, keputusan itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

COMMENTS

Wordpress (0)