Berhenti guna istilah ‘semburit’, kata Armada Terengganu

Berhenti guna istilah ‘semburit’, kata Armada Terengganu

Armada Bersatu Terengganu meminta supaya semua pihak berhenti menggunakan perkataan semburit yang merujuk kepada kontroversi video intim yang didakwa melibatkan Menteri Kanan Kabinet yang tular bulan lalu.

Ketuanya, Syaiful Irfan Anang berkata, penggunaan istilah atau tafsiran yang diguna pakai kepada perlakuan tersebut perlulah dipilih secara cermat dan berhati hati tanpa ingin mensensasikan berita semata-mata.

Tegasnya, kebebasan media bukan bererti Malaysia sudah bersedia untuk berhadapan dengan kebebasan penggunaan perkataan lucah seperti di negara barat.

“Jika pun perkataan itu dapat mensensasikan berita yang ingin disampaikan, masih terdapat perkataan lain yang boleh digunakan selain semburit.

“Semburit sangatlah tidak sesuai digunakan oleh media dan masyarakat awam kerana perkataan semburit itu sendiri telah membawa maksud yang lucah di Terengganu dan di negeri pantai timur dan ianya jelas bermaksud sebagai alat kelamin kaum wanita bagi masyarakat disini.

“Ini perlu difahami dengan jelas kerana bahasa atau dialek percakapan rakyat Malaysia adalah berlainan mengikut negeri dan banyak perkataan yang perlu diklasifikasikan sebagai perkataan sensitif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Terengganu, berkata, rakyat Malaysia perlu mendokong prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah mengikut prinsip undang-undang .

Jelasnya, rakyat Malaysia perlu menghentikan segala spekulasi dan tuduhan melulu serta merta dan fokus kepada pembentukan negara.

“Kami sebagai anak muda di dalam Malaysia baru ini menolak sekeras-kerasnya Gutter politik, perlakuan fitnah dengan niat jahat menjatuhkan kredibiliti seorang pemimpin yang bekerja keras untuk rakyat.

“Saya tidak mahu anak muda cepat membuat spekulasi dan tuduhan melulu hanya kerana video yang menampakkan seolah olah pelaku yang dituduh melakukan kesalahan, maka kita terus menilai dan menghukum.

“Sekali lagi saya tegaskan dan mohon kepada semua pihak supaya berhenti mengguna perkataan semburit ini, memalukan dan jijik untuk didengar mahupun disebut,” ujarnya.