Malaysia Dateline

Berhenti salahkan PH, segerakan dasar pemulihan ekonomi baharu

Kerajaan PN tidak boleh senantiasa dibelenggu dengan sindrom penafian serta hendaklah memperkenalkan banyak inisiatif rangsangan ekonomi bersasar dengan segera.

Demikian disarankan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil hari ini.

Jelas beliau, kerajaan disarankan supaya menyegerakan pengenalan pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dan panjang ke bulan September berbanding rancangan asal iaitu pada bulan Oktober.

Malah kata Faiz, pelan baharu ini memerlukan suntikan dana kerajaan yang besar untuk mempercepatkan proses pemulihan industri dan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia dibuang kerja.

“Moratorium pinjaman wajar diteruskan untuk semua bagi tempoh enam bulan sehingga Mac 2021 kerana ia amat penting bagi memastikan aliran tunai rakyat kekal kukuh dan seterusnya dapat meningkatkan perbelanjaan swasta yang merupakan lebih 50 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Program subsidi upah yang diperkenalkan sebelum ini juga harus diperbaiki kerana ia jelas tidak mampu untuk mengelakkan pembuangan pekerja.

” Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan pada suku kedua 2020, seramai 792,000 rakyat negara ini menganggur berbanding 521,000 individu setahun yang lalu dan jumlah pekerjaan dalam sektor swasta telah menurun sebanyak 236,000 pada tempoh setahun, ” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kekosongan kerja pula menurun sebanyak 48,000.Sejajar dengan itu program subsidi upah harus dilanjutkan untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan lagi.

Sementara itu tegasnya, bagi sektor-sektor yang masih terjejas teruk, kerajaan digesa untuk memberi subsidi sebanyak 80 peratus daripada gaji untuk semua jenis syarikat di sektor-sektor terjejas tanpa dihadkan mengikut bilangan pekerja sepertimana yang dilaksanakan tatkala ini, sekiranya pihak syarikat dapat membuktikan mereka mempunyai kesusahan meneruskan operasi.

Kata beliau lagi, kerajaan juga disarankan supaya memperkenalkan potongan cukai korporat sementara bagi tahun 2021 terutamanya bagi syarikat-syarikat yang tidak membuang pekerjanya.

Ia turut berkata, kerajaan kini harus menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan terhadap rakyat serta hentikan tohmahan dan menyalahkan kerajaan PH.