Berhujan di padang sesak, gelombang PH membadai Titiwangsa

Walaupun hujan, orang ramai tetap setia mengikuti ceramah PH di Titiwangsa malam tadi.

Ada yang mengenakan baju hujan, ramai lagi sedia berkongsi teduh di bawah payung. Bukan sedikit pula yang rela lenjun berhujan.

Tiada kerusi kosong bukan halangan untuk mereka duduk bersila di atas padang permainan Blok E Desa Pandan yang basah.

Itu suasana sambutan hangat masyarakat setempat meskipun hujan agak lebat ketika berlangsungnya Ceramah Mega Parlimen Titiwangsa malam tadi.

Lebih 5,000 hadirin segenap usia tidak berganjak. Tempoh lagi lapan hari untuk membuang undi menyaksikan rakyat teruja menantikan giliran pimpinan tertingi Pakatan Harapan (PH) berucap.

Tanpa pentas mewah dan sistem bunyi pula kurang memuaskan, masyarakat setempat di salah satu daripada 11 Parlimen di Wilayah Persekutuan itu rela bersesak dan bertahan sehingga program berakhir kira-kira pukul 11.45 malam.

Gelombang Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) dan siri Jelajah Felda di seluruh negara yang menyaksikan lautan rakyat dilihat turut membadai Parlimen Titiwangsa yang mempunyai 61,725 pengundi.

Penampilan Tun Mahathir yang mengenakan kemeja dan bertopi merah dengan logo Bersatu itu seperti lazimnya terus memaku perhatian ramai.

Aura tokoh negarawan itu terbukti dengan tepukan dan sorakan orang ramai biarpun serentak dengan program Najib Razak di Dun Gombak Setia di Selangor yang hanya berjarak kira-kira 13 kilometer.

Turut sama mengadakan ceramah menampilkan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad di padang mini Flat Sri Perlis 2 di Dato’ Keramat tetapi kehadiran jauh amat kurang bagi program yang terpampang di poster sebagai ‘Ceramah Mega’.

Kehadiran Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, 91, di Desa Pandan pada ketika wanita seusia beliau lebih selesa berehat di rumah pastinya menjadi kenangan manis rakyat sepanjang musim PRU-14 ini.

Meskipun turut sibuk berkempen di Parlimen Langkawi (P04), Tun Mahathir yang bakal berusia 93 tahun pada 10 Julai ini masih sudi meluangkan masa menjenguk pengundi Titiwangsa.

Tetap bertenaga meneruskan ceramah dengan penyampaian yang bersahaja, Tun Mahathir dilihat menyatukan gelombang rakyat berbilang kaum untuk melakukan perubahan.

Hujan renyai-renyai yang kemudian berhenti ketika bakal Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berucap sebelum diakhiri dengan pidato Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Disulami humor meskipun memperkatakan isu serius pentingnya rakyat memberi mandat kepada PH di Putrajaya, Pengarah Komunikasi dan Mobilisasi PH berkenaan terbukti konsisten menentang Umno-BN sejak 40 tahun berkecimpung dalam politik tanah air.

Dalam program sama, calon PH bagi P119 Titiwangsa, Rina Mohd Harun diperkenalkan. Ketua Srikandi Bersatu berkenaan mencabar penyandang BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Mohamad Noor Mohamad dari Pas.

Untuk rekod, P119 Titiwangsa terdiri daripada 70.48 peratus pengundi Melayu, Cina 17.31 peratus dan India (9.42 peratus) dan lain-lain 2.79 peratus.

Kerusi majoriti Melayu ini dan Parlimen Setiawangsa merupakan dua kerusi yang dikuasai BN di Wilayah Persekutuan manakala lima kerusi dimenangi DAP dan empat lagi PKR.

Johari yang merupakan Menteri Kewangan Kedua menewaskan calon Pas seorang peguam, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi pada PRU-13 dengan majoriti tipis 866 undi.

Persempadanan semula yang digunakan pada PRU-14 ini menyaksikan pengundi Cina dari Titiwangsa dipindahkan ke P117 Segambut.

Pada PRU-13, terdapat 68 peratus pengundi Melayu, Cina 20 peratus dan India 10 peratus di Parlimen Titiwangsa.

9.2
OVERALL SCORE
: 10.0
5 user votes x 9.0
CATEGORIES
TAGS