Beri bantuan RM1,000 kepada nelayan selepas PRK Tanjung Piai

Beri bantuan RM1,000 kepada nelayan selepas PRK Tanjung Piai

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim meminta Menteri Besar Johor menangguhkan pemberian bantuan RM1,000 kepada nelayan-nelayan di Tanjung Piai sehingga selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu.

Dalam satu kenyataan, Hassan berkata menteri besar menunjukkan contoh menghormati undang-undang pilihan raya sebagaimana pernah dianjurkan siri demonstrasi Bersih 1 hingga 5 bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

“Kini kita sudah jadi kerajaan. Saya hendak nyatakan di sini secara ikhlas bahawa kita tidak perlu hendak jadi lawyer terlebih dahulu untuk faham bahawa adalah satu bentuk rasuah politik dan salah di bawah undang-undang kecil Akta Pilihan raya, jika kerajaan negeri sama ada menteri besar, atau menteri pusat atau Exco memberi wang ringgit atau kebendaan masa berkempen pilihan raya kecil di Tanjong Piai.

“Saya Ahli Parlimen Pakatan Harapan merayu janganlah kerajaan baru PH ini buat apa yang kita kritik menteri-menteri BN lakukan selama ini. Rayuan ini juga saya tujukan kepada Menteri Pertanian,”katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak bantuan kepada nelayan-nelayan di daerah lain di Johor yang tidak ada kaitan dengan PRK Tanjung Piai.

“Menteri Besar Johor bolehlah teruskan beri bantuan RM1,000 itu. Tetapi bantuan bagi nelayan- nelayan Tanjung Piai eloklah diberi selepas selesai pilihanraya kecil, tidak kisah sama ada PH menang atau kalah, bantuan tetap diberi.

“Perjuangan untuk membanteras rasuah bermula dengan pembasmian rasuah politik terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pemberian bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta itu akan berikan secara berperingkat melalui tiga fasa.

Kawasan yang terlibat (pemberian bantuan khas) termasuk di Gelang Patah dan Pulai (432 nelayan), Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau (537) serta Pontian dan Tanjung Piai (544 nelayan).